Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Penari Terlibat Kemalangan Teruskan Latihan Hari Malaysia

By 16 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan oleh: Fauzrina Bulka /Β Foto oleh: Shahvian Mohamad Razali

KOTA KINABALU, 16 Sept (Malaysiaaktif) – Dalam kesibukan membuat persiapan untuk sambutan Hari Malaysia di Kompleks Sukan Likas hari ini, satu kemalangan telah berlaku semalam melibatkan penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKKN).

Mohd Rezuan Daud, 36, yang baru sahaja selesai membuat latihan ingin pulang ke rumahnya di Putatan untuk mengambil barang sebelum ke bengkel bagi menyelenggara motor.

“Tiba di Kepayan, saya ingin mengelak sebuah motosikal yang dibawa warga emas yang menekan brek secara mengejut dihadapan saya hingga mengakibatkan pelanggaran dengan sebuah bas besar yang sememangnya berhenti di lampu isyarat di laluan sebelah kiri,” ujarnya.

Rezuan tetap bersemangat menjayakan latihan biarpun mengalami luka-luka selepas terlibat kemalangan.

Rezuan tetap bersemangat menjayakan latihan biarpun mengalami luka-luka selepas terlibat kemalangan.

Menurut Rezuan, kemalangan tersebut menyebabkan berlaku sedikit kerosakan pada motosikal milik rakannya itu dan dia sempat menghantarnya ke bengkel sebelum mendapatkan rawatan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Doktor mengesahkan hanya berlaku kecederaan ringan iaitu terdapat luka pada bibir dan dagu serta menasihati saya untuk berehat.

“Tetapi kerana penglibatan saya dalam membuat persembahan malam ini, saya gagahkan juga diri melaksanakan tanggungjawab yang saya pikul walaupun badan saya agak sakit sedikit,” katanya ketika ditemui selepas membuat latihan di pentas utama.

Beliau yang telah terlibat dalam membuat persembahan sejak 2004 mengakui sambutan Hari Malaysia kali ini merupakan pengalaman yang tidak akan dapat dilupakannya.

“Sebagai rakyat Sabah, saya sangat teruja terlibat dalam sambutan kali ini yang diadakan di sini,” ujarnya.

Sambutan Hari Malaysia yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dipenuhi dengan pelbagai aktiviti gerai dan pameran, konsert dan juga trak makanan.

Perasmian yang dijangka bermula 7.00 malam ini akan dihadiri oleh Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Haji Mahiruddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak; Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Aman.

-SH

Tinggalkan komen anda