Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Bukan Sekadar Kibar Bendera, Derma Darah Juga Serlah Patriotisme

By 13 Ogos 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan oleh: Fauzrina Bulka / Foto:Azman Jumat

 

KOTA KINABALU, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Menyertai Kempen derma darah untuk kali ke-12 kali ini agak istimewa buat Penolong Pegawai Rela Daerah, Salevistere Tinius, 30 tahun kerana ia merupakan simbolik cintakan tanah air dan serlahkan semangat patriotisme.

Salevistere ketika menderma darah untuk kali ke-12.

Salevistere ketika menderma darah untuk kali ke-12.

“Bulan ini merupakan peluang setiap kita rakyat Malaysia menunjukkan rasa sayangkan negara dengan mengibarkan bendera sama ada di rumah atau kenderaan masing-masing.

“Namun begitu, dengan menderma darah juga merupakan salah satu cara untuk kita menyumbang kepada negara kerana membantu rakyatnya yang memerlukan bekalan.

“Moga dengan sedikit sumbangan ini dapat memberikan kesihatan yang lebih baik kepada penerima seterusnya menjadi warganegara yang turut berjasa kepada negara,”katanya.

Ketua Unit Perubatan Transfusi, Jamaludin Mail.

Ketua Unit Perubatan Transfusi, Jamaludin Mail.

Tambahnya juga, derma darah ini ialah tanggungjawab semua orang tanpa mengira warna kulit atau bangsa, kerana sebagai warganegara Malaysia, kita perlu membantu masyarakat di luar sana yang benar-benar memerlukannya.

Salevistere merupakan antara 90 ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sudi menderma dalam kempen yang dianjurkan oleh Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS) , pada Sabtu.

Menurut Ketua Unit Perubatan Transfusi , Jamaludin Mail melalui program yang dijalankan sepanjang hari itu, sebanyak 57 pain darah berjaya diperoleh daripada ahli RELA yang hadir mendaftar.

Ruqaiyah (kiri) wakil dari Restoran Nandos sedang mengagihkan baucar kepada penderma.

Ruqaiyah (kiri) wakil dari Restoran Nandos sedang mengagihkan baucar kepada penderma.

“Adalah diharap kerjasama antara agensi kerajaan, badan sukarela dan swasta dapat diteruskan dalam kempen derma darah pada masa akan datang bagi memastikan kelestarian bekalan darah kepada pesakit yang memerlukan pemindahan darah.

“Sesungguhnya sumbangan bekalan darah yang diperoleh hari ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini cukup memberi sentuhan emosi tersendiri,”ujarnya.

Kata Jamaludin, kesanggupan anggota-anggota  RELA menderma darah menggambarkan kesetiaan dan kasih sayang mereka kepada usaha menyelamatkan pesakit.

Tambahnya lagi, Usaha murni ini sewajarnya menjadi ikutan belia yang mencerminkan kecemerlangan negara dalam usaha memupuk masyarakat harmoni, saling bantu membantu dan prihatin seerti maksud slogan hari kebangsaan tahun ini sayangi Malaysiaku.

 

 

-FHB / MRR

Tinggalkan komen anda