Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kisah Kota Palu Dari Seorang Teman

By 29 Oktober 2018Januari 7th, 2019Tiada komen10 minit bacaan
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Pemergiannya ke Palu bukan kerana ingin disanjung, bukan juga ingin menambah koleksi pingat di dada, tetapi kerana resah memikirkan si ibu yang sedang trauma, juga si anak kecil yang dahaga susu, serta si tua yang kehilangan tempat perlindungan.

Melihat musibah yang berlaku di kaca televisyen membuatkan hatinya hiba, namun pesanan ringkas agar bersiap siaga yang diterima daripada Bahagian Pengurusan dan Respons Bencana, Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kebangsaan membuatkan hatinya berkobar-kobar dan teruja.

Hanya seminggu menanti, anggota Pasukan Respons Bencana Serantau (RDRT), Jerome Conahap menerima surat dan panggilan untuk melaporkan diri ke ibu pejabat Kebangsaan dalam tempoh 24 jam, dan hari yang sama juga, dia bertolak ke Kuala Lumpur.

“Sejurus terima surat, saya segera memaklumkan pada keluarga serta pegawai BSMM negeri dan daerah berkaitan perkara tersebut dan mereka hanya berpesan agar saya berhati-hati, kerana mereka sudah biasa dengan tugas-tugas kemanusiaan yang sering saya lakukan.

“Hari kedua di Kuala Lumpur, saya mendengar taklimat daripada Setiausaha Agung BSMM Kebangsaan, Datuk Sayed A. Rahman Sayed Mohd dan Pengerusi Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana BSMM Kebangsaan, Dr S. Selva Jothi berkaitan tujuan dan objektif ke Sulawesi.

“Melalui taklimat daripada pasukan penilaian BSMM, kami mendapat gambaran yang bercampur aduk kerana dimaklumkan, kemusnahan melibatkan beberapa daerah yang terjejas teruk, antaranya Kota Palu, Donggola dan Sigi,” katanya.

Antara kawasan yang terkesan dengan tsunami.

Antara kawasan yang terkesan dengan tsunami.

Tambahnya, pada hari yang sama juga mereka bertolak ke Jakarta menaiki penerbangan terakhir pada jam 12.00 malam dan seterusnya menyambung penerbangan ke Kota Palu pada jam 5.00 pagi.

Semasa pesawat mereka bersiap sedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Kota Palu, jelas kelihatan daerah-daerah yang terjejas teruk daripada udara hingga semua penumpang merasa sebak melihat kemusnahan yang dialami.

“Ketibaan kami disambut oleh seorang daripada pasukan penilai yang sudah berada di Kota Palu bersama-sama rakan Palang Merah Indonesia (PMI), dan kami seterusnya dibawa ke Markas Pusat PMI.

“Markas ini merupakan pusat kawalan dan koordinasi bantuan kemanusiaan daripada pelbagai persatuan BSM Antarabangsa yang diketuai oleh PMI dengan kerjasama Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

“Di sana kami melaporkan diri dan diberikan taklimat ringkas berkaitan situasi semasa dan juga taklimat keselamatan semasa berada di Kota Palu.

“Kami dimaklumkan untuk tidak berkeliaran tanpa ditemani rakan PMI dan juga larangan untuk ke mana-mana selepas jam 6 petang kerana Kota Palu juga merupakan wilayah konflik antara agama Kristian dan Islam,” kongsinya.

Antara kawasan yang terkesan dengan tsunami.

Antara kawasan yang terkesan dengan tsunami.

Menurut Jerome, mereka kemudiannya perlu melaporkan diri bagi memaklumkan bahawa BSMM Malaysia sudah berada di lapangan untuk koordinasi antarabangsa di pejabat Medan IFRC yang terletak hanya bersebelahan dari Pejabat Medan PMI.

Katanya juga, IFRC memaklumkan bahawa operasi kali ini sedikit sukar kerana kerajaan Indonesia tidak membenarkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) asing untuk beroperasi kecuali rakan sosialis seperti pergerakan BSMM dan mereka juga diminta untuk mematuhi Code Of Conduct International Red Cross Red Crescent (RCRC) Deployment untuk menetapkan standard etika bagi organisasi yang terlibat dalam kerja kemanusiaan.

Seperti yang telah dilihat daripada udara, begitu jugalah pemandangannya ketika mereka dibawa ke lapangan bagi membuat penilaian di daerah Kota Palu dan Donggola, mungkin kerana kedua-dua daerah tersebut  terletak hampir di pesisir pantai mengakibatkannya terjejas teruk akibat tsunami.

“Sepanjang pesisir pantai, tiada sebarang struktur yang berdiri, semuanya habis rata. Apa yang sangat sayu, mangsa yang terselamat berlindung di khemah kanvas yang didirikan di merata tempat dengan hanya sehelai sepinggang.

“Perasaan ketika itu sangat sebak dan sayu melihat keadaan mereka, tetapi walaupun begitu masyarakat Kota Palu tidak berpatah semangat, malah mereka memberikan dan menyediakan hidangan di mana sahaja kami menghulurkan bantuan sebagai tanda terima kasih kerana membantu mereka.

“Tiga malam pertama kami di sana agak menakutkan, ini kerana setiap malam berlaku gegaran susulan dan kami sukar untuk tidur kerana bersiap sedia untuk lari sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” ujar Jerome.

Antara kawasan yang terkesan dengan tsunami.

Antara kawasan yang terkesan dengan tsunami.

Bersama-sama Jerome untuk menyertai Misi Bantuan tersebut dalam pasukan BSM dari Malaysia terdiri daripada tiga orang RDRT dengan kepakaran dan pengkhususan masing-masing iaitu Ketua Pasukan, Rozalla Iskandar yang pakar dalam Penilaian Keperluan Kecemasan (ENA); Pakar Logistik, Zulkarnain Musa; Pakar Air, Sanitasi dan Promosi Kebersihan (eWASH) dan Kesihatan, Ikhwan Mukhter.

Pasukan ini berperanan untuk membuat penilaian berkaitan apa yang boleh disumbangkan dan dibantu pada masa akan datang ketika fasa pemulihan, menggunakan dana yang diperoleh melalui Tabung Sulawesi yang dilaksanakan oleh BSMM dan dalam masa yang sama membantu PMI mengikut kepakaran masing-masing.

“Rutin harian kami di sini bermula dengan taklimat oleh koordinator lapangan pada jam 8.30 pagi, kemudian kami akan memulakan tugas masing-masing pada jam 9.00 pagi di kawasan penempatan yang dikendalikan oleh Palang Merah.

“Sepanjang masa di sini, saya bersama pasukan WASH PMI membangunkan dan menyediakan bekalan air bersih dan terawat serta mengagihkannya menggunakan trak air ke semua pusat pengungsian.

“Dalam masa yang sama kami juga membina tandas dan tempat mandi kecemasan mengikut standard minima antarabangsa berpandukan manual buku sfera untuk bantuan kemanusiaan, kami bekerja rapat dengan tentera Indonesia dan masyarakat yang terjejas bagi mewujudkan pemilikan dan menghargai fasilitet yang dibina untuk mereka,”ujarnya.

Hadiri taklimat setiap pagi untuk mengetahui keadaan semasa.

Hadiri taklimat setiap pagi untuk mengetahui keadaan semasa.

Lebih membuatkannya kagum, walaupun mangsa-mangsa ini ditimpa bencana dan hanya sehelai sepinggang, namun tidak pernah putus menyediakan juadah kepada petugas dengan menggunakan bahan mentah yang didermakan kepada mereka.

“Tempoh kami bekerja tidak menentu kerana mengejar dateline pengungsian, ini bagi mengelakkan daripada mangsa-mangsa membuang air besar merata-rata dan juga penyebaran penyakit.

“Di beberapa kawasan, jaringan komunikasi masih terhad, ini ada kalanya menyukarkan koordinasi kami, di samping itu juga banyak jalan utama yang rosak teruk dan tidak boleh digunakan menyukarkan lagi pergerakan kami.

“Apa yang menambahkan masalah ialah kesukaran untuk mendapatkan bekalan perkakasan dan barang pembinaan kerana kekurangan stok serta banyak kedai masih tidak beroperasi di samping harga yang melambung tinggi,”keluhnya.

Walaupun pelbagai kekurangan yang dihadapi, tetapi para petugas sangat gembira kerana masyarakat Palu sangat mengalu-alukan kehadiran dan bantuan yang disumbangkan kepada mereka.

“Mereka tidak putus-putus menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kerana sanggup datang dan membantu. Rata-rata masyarakat terkejut dengan kehadiran pasukan dari Malaysia kerana menyangka kami warga tempatan disebabkan mempunyai bahasa, budaya dan fizikal yang lebih kurang sama dengan mereka.

“Mereka juga merasa selesa untuk berkomunikasi dengan pasukan Malaysia kerana penggunaan bahasa yang sama walaupun kadang-kadang ada ayat yang sama tetapi maksud yang berbeza, lagi pula rata-rata masyarakat di Sulawesi Tengah kurang mahir berbahasa Inggeris,” tambahnya.

Bangga dengan khemah yang dibina hasil kerjasama dengan PMI

Bangga dengan khemah yang dibina hasil kerjasama dengan PMI

Sepanjang 13 hari menyumbangkan bakti di tempat orang, pastinya pelbagai pengalaman yang ditempuhi, begitulah yang dihadapi oleh Jerome ketika ingin membeli barangan keperluan asas diri di mana urusan jual beli hanya boleh dilakukan di luar pasar raya bagi mengelakkan berlaku penjarahan.

“Semua pelanggan memesan dan menunggu di ruangan parkir kereta dan seterusnya membayar di luar pintu pasar raya sambil dikawal ketat oleh pihak tentera dan polis.

“Ketika itu sangat sulit dan bingung kerana tidak dapat membuat pilihan sendiri kerana pesanan hanya perlu ditulis di sekeping kertas dan pekerja pasar raya yang akan mencari barangan tersebut, namun beberapa kali juga pekerja berulang alik kerana barangan yang diberi tidak sama seperti yang diingini,” jelas Jerome.

Pengalaman lawatannya ke pusat-pusat pengungsian bagi mengedarkan barang bantuan tidak dapat dilupakan di mana mangsa-mangsa berbaris panjang dalam panas terik menunggu giliran, ada antara mereka juga tidak mandi lebih seminggu kerana ingin menjimatkan air untuk makan minum kerana pada waktu itu bekalan air bersih adalah sangat terhad.

Kota Palu terletak di 0 darjah garisan khatulistiwa dengan darjah kepanasan antara 30 hingga 35 celcius.

“PMI sendiri telah mengerahkan lebih 20 lori tangki air berkapasiti 5000 liter ke lebih 10 pusat pengungsian sekerap dua kali sehari.

Bekerjasama dengan tentera Indonesia dan PMI mendirikan tandas untuk mangsa.

Bekerjasama dengan tentera Indonesia dan PMI mendirikan tandas untuk mangsa.

“Perasaan terharu bercampur panik apabila lori tangki air kami diserbu dan ditahan untuk mangsa mendapatkan air bersih.

“Semasa saya menjalankan misi di sini, satu perkara yang menjadi kepuasan dan kebanggaan kepada pasukan WASH PMI dan Malaysia apabila fasilitet yang kami bangunkan menjadi tumpuan masyarakat terutama daripada pengungsi-pengungsi luar kerana mereka sanggup berjalan berpuluh dan ratusan meter kerana selesa menggunakan fasilitet kami,” ujarnya gembira.

Apa yang membanggakan juga, Jerome merupakan sukarelawan pertama BSMM negeri Sabah yang berjaya menjadi salah seorang daripada RDRT rantau Asia Pasifik untuk pengerahan misi-misi luar negara.

Pengerahan ini adalah khusus di zon Asia Pasifik dan syarat asasnya mestilah seorang RDRT mengikut pengkhususan masing-masing.

Beliau juga merupakan sukarelawan negeri sabah yang pernah ke luar negara bagi melaksanakan misi kemanusiaan dan pengerahannya ke sana kerana dia merupakan seorang RDRT WASH yang dikehendaki membantu pasukan Palang Merah Indonesia kerana kepakaran pada air, sanitasi dan promosi kebersihan bagi meningkatkan taraf kesihatan ketika pasca bencana.

Sememangnya hanya sukarelawan RDRT yang terlatih sahaja akan dihantar ke misi-misi luar negara mengikut kepakaran masing-masing, ini kerana Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di seluruh dunia berpegang kepada tujuh prinsip asas pergerakannya.

Jerome bersungguh-sungguh menyiapkan tandas yang selesa untuk mangsa

Jerome bersungguh-sungguh menyiapkan tandas yang selesa untuk mangsa

Menurut Jerome, pada kebiasaannya, pengerahan untuk RDRT akan dikoordinasi oleh IFRC Rantau Asia Pasifik mengikut keperluan negara yang mengalami musibah.

IFRC akan menghantar alert melalui e-mel kepada setiap anggota RDRT untuk arahan pengerahan.

Katanya lagi, sekiranya tiada alert dikeluarkan kepada RDRT, lazimnya mereka akan membuat misi dua hala yang mana Partner National Society (PNS) seperti BSMM membantu PMI secara dua hala.

“Ini kerana kerajaan Indonesia menutup pintu kepada semua NGO atau pertubuhan yang ingin membantu kerana tidak mahu kejadian sebelum ini berulang di mana bantuan yang datang hanya sementara sehingga kerajaan Indonesia terpaksa meneruskan projek yang di tinggalkan setelah NGO terbabit kembali ke negara masing-masing,”jelasnya.

Tambah Jerome, jika bukan kerana penglibatannya dalam BSMM yang telah disertai sejak 24 tahun lalu, tidak mungkin dia akan berpeluang untuk terlibat dalam Misi Bantuan Antarabangsa.

“PMI dan BSM merupakan pergerakan kemanusiaan yang terbesar serta merupakan pergerakan yang sentiasa berada di lapangan tidak kira konflik, bencana atau kecemasan yang berlaku di seluruh dunia hanya dengan berpandukan matlamat yang sama,”kata Jerome bangga.

Tangki air khas untuk menyimpan bekalan air bersih

Tangki air khas untuk menyimpan bekalan air bersih

Dalam pada itu, Sayed A. Rahman ketika dihubungi berkata, BSMM yang bernaung dibawah IFRC sentiasa siap siaga untuk membantu persatuan kebangsaan seperti PMI yang diberikan mandat oleh Kerajaan Indonesia untuk membantu rakyat  di Sulawesi Tengah yang dilanda gempa dan tsunami baru-baru ini.

“Atas dasar semangat kemanusiaan yang tinggi seperti dalam prinsip pertama BSM, Misi Bantuan ke Sulawesi ini telah mendapat izin daripada PMI dan Kerajaan Indonesia untuk meringankan penderitaan rakyat Indonesia di Sulawesi Tengah.

“Misi bantuan BSM bekerjasama dengan Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPD) dan Badan Koordinasi Nasional (BARKONAS) bagi menyampaikan bantuan makanan, perubatan, keperluan asas hidup kepada mangsa-mangsa bencana ,”jelasnya.

Tambahnya juga, anggota Misi Bantuan BSM telah dipinta untuk mendapatkan laporan terperinci akan keperluan-keperluan yang utama yang harus didahulukan.

“Pengalaman kerjasama BSM dan PMI jelas terbukti pada Disember 2004 apabila bekerjasama rapat dalam meringankan penderitaan rakyat Acheh yang dilanda gempa dan tsunami dan hubungan kerjasama itu terjalin selama lebih kurang 5 tahun demi kemanusiaan sejagat.

“Kini pada 2018, sekali lagi BSM menghulurkan bantuan kepada PMI dan sudah pasti dengan komitmen BSM Kebangsaan (IPK) telah meningkatkan imej BSMM khususnya di Rantau Asia dan Pasifik ,”ujarnya.

Mengagihkan air bersih kepada mangsa Kota Palu

Mengagihkan air bersih kepada mangsa Kota Palu

Rahman turut menjelaskan peranan RDRT yang merupakan gabungan Sistem Sokongan Pasukan Respons Bencana yang dianggotai oleh ahli-ahli dan kakitangan daripada Persatuan-Persatuan Kebangsaan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

Katanya, tujuan RDRT ini adalah untuk menggalakkan secara aktif dalam membangunkan kapasiti pengurusan bencana serantau.

“Penglibatan BSM di dalam RDRT di rantau Asia Pasifik terbukti bilamana BSM terlibat menghantar pasukannya membantu mangsa bencana Taufan Haiyan, Gempa Asia Selatan, Tsunami Acheh, Gempa di Jogjakarta, Banjir lumpur di Leyte, Filipina sebelum ini.

“Pasukan ini mengandungi sukarelawan dan kakitangan yang digerakkan oleh BSM Kebangsaan yang terlatih untuk membawa bantuan kepada Persatuan-Persatuan Kebangsaan yang berjiran dan memerlukan bantuan.

“Kurikulum latihan yang telah diatur sebegitu rupa kepada ahli-ahlinya membolehkan kedua-dua pasukan ini akan berupaya memberi sokongan kepada RDRT yang mana tonggak pelatihan di pimpin oleh Delegasi Serantau Persekutuan Antarabangsa PMI dan BSM,” jelas Rahman.

Mengajar kanak-kanak cara membasuh tangan dengan betul

Mengajar kanak-kanak cara membasuh tangan dengan betul

Sehubungan itu, data maklumat ahli-ahli yang terlatih disimpan rapi, dan mereka akan dikerah dan ditempatkan berdasarkan permintaan Persatuan-Persatuan Kebangsaan.

Begitu juga dengan persediaan awal kelengkapan, komputer dan alat komunikasi yang disimpan oleh perwakilan yang akan ditempatkan bersama-sama pasukan.

Dalam tahun 2005 dan 2006, seramai 181 RDRT telah ditempatkan ke 18 misi yang berasingan.

“Apa yang istimewa dapat dilihat melalui Kesejagatan dan semangat Kejiranan melalui PMI dan BSM ASEAN, hubungan baik Malaysia dan Indonesia kekal terjaga dan harmoni.

“Pengalaman baik di Acheh pada 2004 hingga 2009 menjadi satu tanda kesejagatan dalam Rumpun Nusantara, BSM dan PMI sekali lagi berganding bahu bagi meringankan penderitaan manusia di Sulawesi Tengah, kini legasi ini kita teruskan,”katanya bersemangat.

Selain itu, Rahman turut mengharapkan peningkatan dari segi sumbangan untuk Tabung Sulawesi supaya bantuan berterusan dapat disalurkan kepada masyarakat disana yang terjejas dan bantuan yang lebih mantap dapat disalurkan.

Dana terkumpul setakat hari sabtu ialah RM160,985 dan BSMM juga telah menghantar sumbangan ihsan tunai sejumlah RM10,000.

Selesai membina penapis air untuk memastikan bekalan air bersih dan terawat

Selesai membina penapis air untuk memastikan bekalan air bersih dan terawat

 

EM

Tinggalkan komen anda