Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaTerengganu

KKMM Jamin Rakyat Di Negeri Pembangkang Nikmati Khidmat Serupa Negeri Lain

By 22 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUALA TERENGGANU, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi jaminan setiap perkhidmatan di bawah agensinya akan dinikmati semua rakyat termasuk di negeri yang ditadbir pembangkang seperti Terengganu yang kini ditadbir oleh PAS.

Timbalan Menterinya Eddin Syazlee Shith berkata menjadi keutamaan kepada kerajaan memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan perbezaan ideologi politik bukan penghalang untuk mereka menikmatinya sama seperti di negeri parti pemerintah.

“Takkanlah kita mahu jadikan perbezaan (parti politik) sebagai alasan kekangan untuk hubungan kerajaan negeri dan persekutuan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Kalau ada perkara yang mewujudkan perbezaan antara dua pihak (negeri dan pusat) kita akan cari jalan penyelesaian terbaik dan perlu dipermudahkan dan disegerakan…supaya matlamat asal dalam memberikan perkhidmatan kepad rakyat itu tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Agensi di bawah KKMM di Jabatan Penyiaran Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu Suwadi Guliling, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu Nasrul Hakim Mohd Noh, Pengurus Negeri Pos Malaysia Terengganu Salbiah Abu Bakar, Ketua Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Terengganu Mohd Fairus Mohamad dan Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Engah@Ngah.

Eddin Syazlee turut berkesempatan melawat konti radio dan studio Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu pada majlis itu.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Eddin berkata beliau yakin dengan kemampuan RTM dalam melaporkan yang terbaik bagi PRK itu yang akan diadakan Sabtu ini.

“Berdasarkan rekod sebelum ini kita yakin RTM mampu memberikan yang terbaik dan melaporkan keputusan pilihan raya segera yang mungkin.. sebaik sahaja kita dah dapat pengesahan (keputusan) daripada pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), RTM akan umum kepada rakyat…saya rasa itu tiada masalah,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda