Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Cacat Bukan Halangan Ke Menara Gading

By 2 Februari 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Status Orang Kurang Upaya (OKU) sebenarnya tidak menjadikan kekurangan dalam diri sebagai satu penghalang bagi seseorang mengejar cita-cita khasnya belajar sehingga ke peringkat universiti.

Nurulaini Ahmad berkata, beliau tidak menganggap kekurangan diri sebagai halangan untuk belajar, malah akan cuba berusaha mempertingkatkan prestasi supaya dapat bersaing atau mengatasi pelajar lain.

“Saya akan cuba tingkatkan prestasi dan beri saingan kepada pelajar lain agar dilihat sama taraf dengan pelajar normal.

“Syukur kerana dapat mencapai cita-cita saya untuk belajar di UIAM kerana kursus yang saya minat terdapat di sini,” katanya berasal dari Taiping.

Menurut Nurulaini, beliau berharap pihak UIAM dapat mempertingkatkan kemudahan untuk golongan tersebut dan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa OKU juga mampu belajar di peringkat tertinggi.

Ahmad Danial Mohd Sani, 25, berkata beliau tidak sangka mendapat tawaran daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas permohonan beliau ke universiti melalui Unit Pengambilan Pelajar @UPU), gagal.

Dr Dzulkifli (tiga dari kiri) bersembang bersama tiga pelajar OKU yang mendaftar di UIAM semester ini.

Dr Dzulkifli (tiga dari kiri) bersembang bersama tiga pelajar OKU yang mendaftar di UIAM semester ini.

“Saya tidak putus asa dan cuba memohon untuk belajar di UIAM, ianya diterima walaupun agak terkejut dengan tawaran tersebut.

“Alhamdulillah, saya anggap ianya ada hikmah disebaliknya dan berharap dapat belajar dengan baik serta menyertai setiap aktiviti di universiti ini.,” katanya yang mempunyai Diploma Tahfiz Walqiraat Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut anak kedua daripada tujuh adik beradik ini yang hilang penglihatan sejak berusia tiga tahun, beliau sedang cuba menyesuaikan diri di UIAM walaupun sebelum ini mempunyai pengalaman belajar di Darul Quran.

Ahmad Danial (dua dari kanan) bersalam dengan Dr Dzulkifli selepas Majlis Ikrar pelajar baru UIAM.

Ahmad Danial (dua dari kanan) bersalam dengan Dr Dzulkifli selepas Majlis Ikrar pelajar baru UIAM.

Bagi Ahmad Hazmi Johari, 20, berkata beliau bersyukur diterima belajar di UIAM, yang merupakan antara universiti terbaik di negara ini.

“Saya harap pihak kerajaan memberi perhatian kepada pelajar OKU yang memerlukan bantuan terutama kewangan agar golongan seperti kami dapat belajar dengan sempurna,” katanya yang berasal dari Gombak.

Mereka bertiga selepas Majlis Ikrar 623 orang pelajar tempatan dan antarabangsa pelajar baharu kemasukan 2018/2019 yang diadakan di Dewan Utama.Pusat Kebudayaan UIAM, kampus Gombak di sini hari ini.

Sementara itu, Rektor UIAM, Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata, ini merupakan kali pertama UIAM mengambil seorang pelajat cacat penglihatan, manakala dua orang lagi masalah pertuturan dan fizikal (rendah).

“Ini merupakan satu lagi kegembiraan bagi pihak universiti, kita meluaskan peluang belajar kepada semua termasuk golongan OKU.

“Kita mengharapkan lebih ramai OKU dapat peluang belajar di sini supaya peluang belajar dapat diluaskan lagi kepada seluruh masyarakat di Malaysia ini.

Kata Dzulkifli, mereka merupakan makhluk Allah yang mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada orang biasa, namun mampu untuk belajar seperti orang lain.

“Kita sedang mempertingkatkan kemudahan OKU di UIAM kerana universiti ini ditubuhkan lebih 35 tahun dahulu dan golongan OKU ini tidak diraikan waktu itu.

“Prasana yang ada akan ditingkatkan untuk memberi keselesaan kepada mereka seperti pelajar-pelajar yang lain,” katanya.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda