Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomeKedah

Ekonomi Digital Jayakan Bandar Pintar Negeri Kedah

By 2 Februari 2019Jun 21st, 2022Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto : Rose Rasidi/Fatin Nabila (Alor Setar)

ALOR SETAR, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Bandar pintar merupakan sebuah bandar raya yang berinovatif dan berkemahiran tinggi serta maju dalam aspek pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pembangunan dan infrastruktur yang turut memberi tumpuan kepada alam sekitar dan kelestariannya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), menjelaskan antara elemen yang diperlukan dalam menjayakan bandar pintar ialah dengan memanfaatkan penguasaan dalam teknologi maklumat serta penggunaan teknologi digital.

Menurut timbalan menterinya Eddin Syazlee Shith, sesebuah bandar pintar mampu menjana ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Ekonomi digital merupakan pembangunan yang penting kepada sesebuah bandar pintar kerana mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri bahkan pendapatan negara.

“Kemudahan dalam teknologi tinggi, jaringan internet yang baik serta kewujudan pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amat perlu dalam menjayakan ekonomi digital ini,” katanya ketika sesi lawatan dan ramah mesra bersama agensi di bawah KKMM negeri Kedah, di sini kelmarin.

Menurut Eddin, kemudahan-kemudahan yang lengkap dan baik ini pastinya dapat menjayakan visi, misi dan hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia negara maju setanding negara-negara kuasa besar.

“Perancangan terperinci diperlukan dalam melaksana dan menjayakan misi kerajaan pusat serta kerajaan negeri dengan mewujudkan pusat ICT di setiap Komuniti Harapan Malaysia (KHM) di bawah seliaan Jabatan Penerangan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Eddin turut menyatakan komitmen kerajaan dalam menyebar luas kemudahan internet terutamanya kepada penduduk luar bandar agar seiring dengan masyarakat bandat pada era globalisasi kini.

“KKMM akan memberi sokongan penuh dan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menjadikan Kedah sebuah bandar IT,” katanya lagi.

Agenda kerajaan pusat melalui KKMM disambut baik oleh EXCO Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad yang turut hadir dalam majlis tersebut.

“Menjadi hasrat kerajaan negeri untuk merealisasikan bandar pintar dan membangunkan teknologi digital agar setanding dengan negeri lain yang maju dan seiring dengan kemajuan globalisasi dalam aspek ekonomi digital.

“Kerajaan negeri mengharapkan pihak KKMM dapat membantu kawasan-kawasan yang sering menghadapi masalah liputan seperti di Sik, Baling dan beberapa kawasan yang lain,” ujarnya.

Firdaus berkata, Permodalan Kedah Berhad (PKB) bersama STT Technologies Sdn. Bhd. melalui syarikat usaha sama SPKB Hitech telah mendapat kerjasama yang erat daripada pihak Kulim Technology Park Corporation (KTPC) melalui Kedah Digital Transformation Center (KDTC) menjadi penyelaras utama bagi Projek Bandar Pintar negeri Kedah.

“Pulau Langkawi dan Bandar Perindustrian Kulim Tech telah menjadi projek pembuktian konsep juga pelan awal dalam merealisasikan bandar pintar negeri Kedah ini,” jelasnya.

-SH

Tinggalkan komen anda