Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Pandang ke Atas Untuk Melihat Khazanah Langit

By 10 April 2019Mei 7th, 2019Tiada komen11 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

RANAU, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Hujan yang turun lewat petang itu sememangnya agak menggusarkan, risau jika berpanjangan hingga ke malam akan membantutkan rancangan yang diatur sekian lama untuk mencerap bintang.

Jangkaan kumpulan pencerap ini pada awal April, mereka akan dapat merakamkan keindahan galaksi bima sakti yang muncul sebagai sebuah jaluran yang megah yang dipenuhi ribuan gugusan bintang di langit, berlatar belakangkan Gunung Kinabalu melalui Tegudon Tourism Village (TTV).

Taklimat yang disampaikan oleh Emma kepada peserta H4SMW 2019
Taklimat yang disampaikan oleh Emma kepada peserta H4SMW 2019

 

Kelihatan agak payah pada mulanya, kerana cabaran awan yang agak rendah dan sesekali menutup pemandangan bintang yang bertaburan menjadikan malam tersebut terasa lama.

Suhu dingin dan nyamuk bukan cabaran utama, kerana dengan menyarungkan jaket dan memasang racun nyamuk sudah memadai untuk selesaikan masalah, hanya lagi apa yang diharap hanya cuaca yang baik supaya foto dapat dirakamkan dalam pelbagai suasana yang kreatif untuk perkongsian bersama.

Peserta merakamkan kenangan bersama sebelum program bermula di TTV.

Peserta merakamkan kenangan bersama sebelum program bermula di TTV.

Namun itulah perkara biasa yang sering dihadapi oleh kumpulan ini, tidak seperti warga lain yang suda lena diulit mimpi, mereka masih berjaga pada lewat malam hingga awal pagi demi mendapatkan rakaman yang diinginkan.

Pengarah Program Sabah Stargazers, Emma Zulaiha Zulkifli, 28, berkata Program Hunt for Sabah Milky Way 2019 (H4SMW 2019), merupakan kali keempat diadakan sejak 2016.

Emma Zulaiha Zulkifli

Emma Zulaiha Zulkifli

“Program ini bertujuan untuk merakam gambar bima sakti bersama-sama landskap bumi Sabah di samping memberi kesedaran kepentingan menjaga langit daripada pencemaran cahaya bukan sahaja kepada peserta H4SMW 2019 malah kepada komuniti masyarakat tempatan.

“Untuk penyertaan kali ini, lebih kurang 30 peserta menyertai program termasuk dari Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Singapura. Konvoi bermula dari Kota Kinabalu ke lokasi pertama iaitu TTV di daerah Kota Belud.

Keadaan langit yang berawan menyukarkan rakaman foto milkyway yang menarik.

Keadaan langit yang berawan menyukarkan rakaman foto milkyway yang menarik.

“Jelajah H4SMW diteruskan di Lasao Podi pada malam kedua dengan tarikan panorama bukit-bukau seperti di New Zealand dan berakhir di puncak Bukit Maragang dengan ketinggian 2232 meter daripada paras laut pada malam ketiga,” ujarnya yang juga seorang Astronomy Communicator, Dark Sky yang berperanan untuk menyebarkan ilmu astronomi di Sabah.

Gerakan mencerap bintang ini biasanya dilakukan minimum lima kali dalam sebulan, lebih kurang 60 kali dalam setahun. Jika langit betul-betul cerah, selalunya mereka akan lakukan secara spontan, bergantung juga kepada objek samawi yang hendak diambil serta mengambil kira peredaran bulan, bintang dan objek yang menarik di langit malam mahupun siang.

Foto: Emma Zulaiha - Meteor Geminids memancar di hadapan Planet Zuhrah di Tegudon

Foto: Emma Zulaiha – Meteor Geminids memancar di hadapan Planet Zuhrah di Tegudon

Menurut Emma, TTV terpilih sebagai lokasi pertama kerana ia merupakan pusat pelancongan rekreasi, diusahakan oleh komuniti Kampung Nahaba yang memahami kepentingan menjaga langit serta alam flora dan fauna.

“TTV memberi kerjasama kepada perakam gambar malam mahupun kepada sesiapa yang ingin melihat bintang dengan mengawal penggunaan lampu untuk tidak dihalakan ke atas ataupun ke mata atau ke kamera.

“Hal ini amat penting bagi seseorang untuk melihat bintang menggunakan mata kasar atau alat bantuan penglihatan seperti kamera, binokular atau teleskop.

Foto: Yunus Jinul - Meteor Composite TTV

Foto: Yunus Jinul – Meteor Composite TTV

“Di TTV jugalah, Sabah Stargazers telah menganjurkan Cerapan Juraian Meteor Geminids yang dihadiri kira-kira 300 orang dan memecahkan rekod Cerapan Juraian Meteor paling banyak di Malaysia dengan kiraan 1,243  meteor pada satu malam bermula 8.30 malam sehingga 5.00 pagi,” kata Emma.

Tambahnya juga, cantiknya di TTV,  keindahan sungai yang mengalir digabungkan dengan langit yang berbintang dengan gandingan Gunung Kinabalu sebagai mercu tanda di Negeri Sabah melengkapkan lagi landskap pemandangan di sana, apa tah lagi beberapa buah meteor rawak melintasi langit ketika mereka sedang merakamkan foto keindahan pusat Bima Sakti.

Foto: Muhd Luqmanul Hakim B. Muharam- Tegudon 2

Foto: Muhd Luqmanul Hakim B. Muharam- Tegudon

Selain aktiviti merakam gambar, para peserta akan duduk berbual santai mengenai buruj-buruj seperti Crux (Pari) dan Ursa Major (Biduk) yang boleh dilihat di langit yang sama, di mana pemerhati dan pencerap langit dari Australia di langit selatan dan Canada di langit utara, tidak dapat melihat buruj berkenaan berikutan perbezaan latitud.

“Bagi pendapat saya, untuk menjadi seorang Stargazer atau pencerap bintang, seseorang harusnya mempunyai dua ciri iaitu minat dan kesabaran kerana minat memberikan semangat untuk seseorang belajar pelbagai perkara seperti peta bintang, ciri-ciri bintang, objek-objek selain bintang dan paling penting agar tidak tidur untuk berjaga sepanjang malam sekiranya keadaan langit sangat sesuai untuk membuat pemerhatian.

Foto: Muhd Luqmanul Hakim B. Muharam-Tegudon

Foto: Muhd Luqmanul Hakim B. Muharam-Tegudon

“Kesabaran pun harus ada kerana sebagai seorang pencerap bintang, akan banyak cabaran dan halangan yang akan ditempuh.

“Justeru, agar boleh saling berkongsi ilmu, kami mengalu-alukan ahli peminat langit untuk menyertai kami sebagai ahli Sabah Stargazers dan boleh layari laman sesawang dan facebook Sabah Stargazers untuk mendapatkan borang secara atas talian,” jelas Emma.

Emma juga turut berkongsi penyediaan peranti asas yang perlu ada pada yang baharu berjinak-jinak untuk merakamkan gambar Bima Sakti, seperti kamera DSLR ataupun kamera yang boleh membuat long exposure (dedahan lama), lens wide angle, dan tripod.

Hasil yang diperoleh di TTV

Hasil yang diperoleh di TTV

“Selain itu, ada yang merakamnya untuk dijadikan video timelapse dengan penambahan timer remote, slider dan aksesori lain.

“Bagi tahap tinggi iaitu amatur dan profesional pula biasanya terdiri daripada penggemar yang merakam objek yang lebih kecil di mata seperti planet, nebula, galaksi, kluster bintang, asteroid, komet dan lain-lain.

“Tahap ini memerlukan set teleskop bersama pelekapnya (mount), kamera DSLR atau Charged Couple Device (CCD) dan aksesori kecil lain kerana merakam objek-objek samawi ini adalah lebih rumit kerana memerlukan penyediaan yang rapi dan jitu.

“Pelekap perlu menghadap utara benar untuk mendapatkan jejak langit yang betul. Pesongan pelekap boleh mengakibatkan gambar diambil menjadi garisan yang perlu dielakkan.

Sinaran bintang disebalik awan yang tebal

Sinaran bintang disebalik awan yang tebal

“Merakam objek samawi ini juga menyeronokkan kerana dapat menyumbang gambar kepada komuniti astronomi amatur dan komuniti astronomi profesional untuk dijadikan “data” sebagai bahan kajian untuk para astronomi profesional,” ujarnya.

Emma akui terlalu banyak tempat yang menarik di Sabah untuk aktiviti mencerap bintang, salah satunya di Tegudon Tourism Village (Kota Belud), Tambatuon Homestead (Kota Belud), Panorama Paradise Resort (Kota Marudu), Puncak Bukit Maragang(Mesilou), sekitar Kundasang, Kampung Sugud (Penampang), Kampung Lamak (Lahad Datu), Tingkayu (Kunak), Kampung Kabongan (Semporna), Pulau Banggi (Kudat), Pulau Mantanani (Kota Belud) dan banyak lagi tempat yang belum diterokai dengan syarat kawasan tersebut bebas daripada pencemaran cahaya.

Kata Emma, umum memang mengenali Sabah sebagai pusat pelancongan. Melalui promosi yang dijalankan oleh kerajaan negeri, banyak chalet dan homestay dibuka tanpa pengawalan lampu.

“Ini mungkin kerana ramai pihak tidak menyedari komoditi tambah dalam ekonomi pelancongan yang ditawarkan oleh keindahan langit gelap di Sabah, manakala, banyak lampu jalan diletakkan secara rapat dan tidak efisien hingga menyumbang kepada pembaziran tenaga.

Foto: Muhd Luqmanul Hakim B. Muharam-Tegudon

Foto: Muhd Luqmanul Hakim B. Muharam-Tegudon

“Bandaraya Kota Kinabalu semakin pesat membangun dan semakin banyak lampu dipasang untuk mengindahkan lagi landskap kota raya di kepulauan Borneo, Hal ini menjadikan kawasan sekeliling bandaraya ditenggelami cahaya kota dan menyebabkan kawasan ini semakin sukar untuk melihat bintang, terutamanya pusat bima sakti.

“Ada beberapa lagi kawasan yang dibangunkan tanpa pengawalan cahaya, maka kami memerlukan pembuat polisi dengan segera untuk mengeluarkan polisi kawalan cahaya yang dapat digunakan sejajar dengan penjagaan langit yang mana manfaatnya akan lebih menyeluruh kepada pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar,”kata Emma lagi.

Jelasnya, Untuk menuju misi dan visi mereka, Sabah Stargazers amat memerlukan sokongan dana untuk mengadakan aktiviti kepada orang ramai terutamanya kepada pelajar sekolah.

Seronok bermain dengan teleskop besar

Seronok bermain dengan teleskop besar

“Banyak fenomena astronomi berlaku sepanjang tahun dan amatlah sayang jika tiada aktiviti dijalankan untuk membuka mata seluruh pihak akan kewujudan fenomena langit yang bukan setiap hari dapat dilihat.

“Telah menjadi norma kehidupan masyarakat sekarang lebih tertumpu kepada kepesatan teknologi serta peranti dan hanya memandang ke bawah tetapi tidak lagi memandang ke atas untuk melihat khazanah langit ini,” luahnya.

Emma turut berkongsi pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang mencerap bintang adalah ketika cerapan meteor yang paling banyak di TTV, melihat orang ramai mengira jumlah meteor dalam keadaan yang gelap dibantu dengan cahaya yang minimum sebagai penunjuk arah ketika berjalan.

Antara permainan yang disediakan di tapak pameran

Antara permainan yang disediakan di tapak pameran

“Hanya pada keesokan paginya barulah dapat dilihat wajah-wajah yang tidak tidur dan bersama-sama sepanjang malam mengira juraian cerapan meteor, demi melihat langit dan merakam gambar, saya sanggup baring di atas batu-batu sungai yang besar.

“Seperkara lagi, kami pernah mengadakan cerapan di padang terbuka SMK Terusan, Lahad Datu. Sedang kami bercerita bersama-sama pelajar sekolah di bawah langit terbuka, secara tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan kami dilanda ribut serta angin yang kuat.

“Kami empat orang ahli bersama pelajar terus mengangkat peralatan cerapan iaitu dua buah teleskop yang berat, televisyen berukuran 49 inci, meja, kotak aksesori cerapan ke astaka berbumbung untuk berlindung,” kongsinya.

Petugas turut membantu kanak-kanak ini menyiapkan teleskop

Petugas turut membantu kanak-kanak ini menyiapkan teleskop


Dalam pada itu, untuk menyebarluaskan lagi ilmu astronomi dan sains angkasa bukan sahaja kepada pelajar sekolah, malah kepada orang ramai, jurukamera, dan pengunjung tempatan dan antarabangsa, Emma turut meletakkan harapan dan memohon agar kerajaan dapat menyokong aktiviti-aktiviti yang diadakan oleh Sabah Stargazers.

“Kami amat berharap agar pihak kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat, dapat turut sama terlibat menggubal polisi yang berkaitan, memberikan bimbingan dan sumbangan dana di peringkat awal ini.

“Kami berharap agar langkah mengimplementasikan penggunaan lampu yang tidak membebaskan cahaya ke langit, contohnya, menghalakan cahaya lampu ke bawah sahaja, dan setiap unit lampu dipasangkan penghadang di sekeliling, supaya cahaya tidak mencemari langit.

Kanak-kanak seronok mencuba permainan yang disediakan

Kanak-kanak seronok mencuba permainan yang disediakan

“Kami di Sabah Stargazers telah mula mengorak langkah untuk mewartakan kawasan langit gelap Sabah iaitu Sabah Dark Sky dengan mempromosikan keindahan langit malam melalui media sosial dan kempen hashtag  #sabahdarksky.

Namun begitu, usaha kami masih belum menarik minat masyarakat khususnya pihak-pihak pembuat polisi dan ahli-ahli kerajaan,” kata Emma.

Mengulas mengenai Pesta Rombituon yang bermaksud bintang, yang julung kali diadakan di Kundasang, Sabah menurutnya merupakan idea daripada mantan Timbalan Ketua Setiausaha MESTECC, Dr. Ramzah Dambul yang kini berada di Universiti Malaysia Sabah sebagai Timbalan Naib Canselor (Sains dan Inovasi) untuk menaikkan astronomi dalam budaya masyarakat tempatan terutamanya etnik Dusun.

Permainan minda yang disediakan di salah sebuah pameran

Permainan minda yang disediakan di salah sebuah pameran

Tambahnya, Gandingan Sabah Stargazers dan komuniti Kundasang bagi menyediakan aktiviti dan kelengkapan untuk menjalankan pesta ini mendapat kerjasama banyak pihak antaranya dari Mesilou Volunteers Club, Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Persatuan Homestay Walai Tokou dan Atamis, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kinabalu Coders, Politeknik Kota Kinabalu, SMKA Tun Ahmadshah, NJ Petroniaga, Pusat Sains Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Petrosains Playsmart, Universiti Sabah Malaysia, KadazanDusun Language and Cultural Center, Persatuan Astronomi-Falak Amatur Negeri Kelantan, Orionids Group, Pejabat dan Majlis Daerah Ranau, Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar, SESB, Jabatan Penerangan dan agensi-agensi di bawah MESTECC.

Justeru, dengan penganjuran Pesta Rombituon ini, mereka berharap agar lebih ramai pemilik dan pengurus homestay, chalet dan pengusaha taman rekreasi di Sabah sedar akan kepentingan menjaga langit dan bersama-sama Sabah Stargazers menggerakkan astrotourism di Sabah setaraf antarabangsa.

Pameran UMS menunjukkan kaedah dan cara menentukan identiti individu.

Pameran UMS menunjukkan kaedah dan cara menentukan identiti individu.

Emma yakin astrotourism akan tumbuh semarak di Sabah sebagai komoditi ekonomi yang baru, sekiranya policy-maker boleh menggazet lokasi-lokasi strategik di Malaysia sebagai wilayah langit gelap dan bebas pencemaran cahaya kerana Sabah terutama daerah-daerah pergunungan di sekitar lembah Kinabalu mempunyai potensi sangat cerah sebagai destinasi tarikan para pemburu bintang dunia.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sempena Pesta Rombituan Sabah seperti Simposium Rombituon, mendaki dan mencerap bintang di Bukit Maragang Hills, Pertandingan Astrophotography, Pertandingan Roket Air, Pertandingan Model Spaceship, Cerapan Bintang dan Matahari, Pertandingan Kostum Alien, Kuliah Ilmu Falak, Pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan kebudayaan dan pertandingan nyanyian serta pameran agensi kerajaan dan swasta.

Ahmad Hanif Ibrahim

Ahmad Hanif Ibrahim

Umpama menyelam sambil minum air, pengunjung Pesta Rombituon, Ahmad Hanif Ibrahim, 27, berasa seronok kerana peroleh ilmu baharu ketika percutiannya ke Kundasang.

“Ini merupakan kali pertama saya dan rakan-rakan berkunjung ke Kundasang, niat hanya ingin berehat untuk makan tengah hari, tetapi melihat ada pesta dan pameran, kami mengambil kesempatan singgah ke Pesta Rombituon.

“Penganjuran yang baik, kerana sebentar tadi kami sertai ke dalam Planetarium Dome, saya dapati ia sangat informatif, penjelasan yang disampaikan oleh kakitangan mudah difahami sama ada oleh orang dewasa atau kanak-kanak.

9.Suasana penceritaan yang menarik di dalam Planetarium Dome.

Suasana penceritaan yang menarik di dalam Planetarium Dome.

“Melalui penjelasan yang disampaikan, saya banyak tahu informasi baharu juga, sangat bagus terutama sekali pada pengunjung yang bukan dari bidang astronomi, sudah tentu kita tidak akan tahu kedudukan dan jenis bintang-bintang yang ada,” katanya yang baharu sahaja menamatkan pelajaran di Universiti Kebangasaan Malaysia.

Tambahnya juga, ilmu yang diperoleh dalam pesta ini jarang di ajar di sekolah, sudah tentu bila diadakan aktiviti-aktiviti sebegini, pengunjung boleh dapat ilmu baharu, malahan di khemah-khemah pameran juga ada ditunjukkan bagaimana cara teleskop dibuat, ia dapat membantu menanam minat pada kanak-kanak untuk belajar dan pastinya program yang dijalankan sangat memberi manfaat kepada semua.

Norasram Ramli

Norasram Ramli

Sementara itu, Pegawai Promosi dan Media Malim Gunung Kinabalu, Norasram Ramli gembira dengan kerjasama yang dijalankan antara komuniti Maragang Hill dan Sabah Stargazer bagi mewujudkan satu lagi produk baharu di eko-pelancongan Mesilau.

“Pendapat saya, ini dapat membuka peluang kepada komuniti di sini untuk mengenal bintang-bintang yang kami tidak pernah terfikir sebelum ini.

“Jika kita lihat di eko- pelancongan yang lain, belum ada lagi yang menyediakan khidmat pendakian malam, jadi julung kalinya dalam eko-pelancongan komuniti di Maragang Hill yang membuat program mencerap bintang.

Suasana ketika pendaftaran untuk mendaki dan mencerap bintang di Maragang Hill.

Suasana ketika pendaftaran untuk mendaki dan mencerap bintang di Maragang Hill.

“Pendakian malam sebenarnya berbeza daripada mendaki pada waktu siang, kerana ia lebih mencabar daripada segi pergerakan, perjalanan, dan dalam cuaca yang sejuk pada waktu malam yang dijangka suhu serendah 10° Celsius di puncak akan menjadi cabaran para pendaki.

“Selain itu cabarannya juga apabila pendaki terserempak haiwan liar, yang biasanya aktif pada waktu malam seperti ular, ataupun unggas-unggas seperti ulat bulu, namun begitu kami suda bersedia untuk taklimat keselamatan sebelum pendakian malam dimulakan,” las Norasram.

Merakamkan kenangan sebelum mendaki Maragang Hill

Merakamkan kenangan sebelum mendaki Maragang Hill

Menurutnya, kelebihan mencerap bintang di sana berbanding di tempat lain ialah Maragang Hill sangat strategik dan merupakan lokasi yang jauh daripada cahaya yang terang, di mana puncaknya sangat gelap dan sesuai untuk merakamkan Bima Sakti.

Selain itu, pemandangannya juga lebih luas di mana semua sudut jelas kelihatan daripada puncak Maragang Hill.

“Maragang Hill amat bertuah menerima perkongsian ilmu daripada ahli astronomi seperti Sabah Stargazer dan kami amat berterima kasih dengan potensi yang mereka lihat di sini yang amat bermanfaat untuk komuniti di sini.

Foto: Teoh Kheng Keat di Maragang Hill

Foto: Teoh Kheng Keat di Maragang Hill

“Mungkin selepas ini kami boleh membuka lebih banyak pakej untuk pengunjung, dan mungkin kami mampu untuk membuka pakej untuk Stargazing Hiking,” ujarnya.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, 20 daripada 80 orang mountain guide Maragan Hill turut merebut peluang untuk belajar mengenai bintang dan turut hadir pada majlis perkongsian ilmu yang diadakan Mac lepas meliputi perkongsian seperti pergerakan bintang, nama-nama bintang , cerita-cerita mengenai bintang yang wujud seperti cerita-cerita rakyat, dan banyak lagi terutamanya buruj.

“Untuk Maragang Hill, memang kami mengutamakan komuniti sekitar Kampung Mesilau sahaja, aktiviti mendaki bukit banyak membantu anak muda dalam peluang pekerjaan.

Foto: Norasram ramli di puncak Maragang Hill

Foto: Norasram ramli di puncak Maragang Hill

“Sekiranya pakej ini dibuka dan dilaksanakan secara konsisten, saya pasti sambutannya akan lebih meluas sebab tidak ramai juru foto yang tahu Maragang Hill ada lah salah satu lokasi strategik untuk fotografi Bima Sakti.

“Jadi dalam pakej ini kami bukan sahaja menarik perhatian pendaki untuk mencuba pendakian malam tetapi juga untuk juru foto mendapatkan gambar yang menarik di samping mempromosikan lagi tempat pelancongan di sini,” terangnya.

EM

Tinggalkan komen anda