Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurRencana & PendapatViralWilayah Persekutuan

Tiada Kemahiran Keibubapaan, Agama, Impak Kelakuan Anak

By 11 Jun 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Fauziah Hussain / Foto: Fauziah Hussain & Aziz AS

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Ibu bapa adalah asas menentukan perkembangan kanak-kanak dalam pembinaan akhlak dan sahsiah diri.  Peranan mereka cukup besar dalam mendidik dan memelihara anak-anak.  Dalam menjalankan tugas ini, kemahiran keibubapaan dan ilmu agama amat penting.

“Bagaimana hendak mendidik anak kalau ibu bapa tidak faham agama.  Cara didik perlu berhemah dan santun, baik ketika menasihat dan menegur.  Guna sedikit kemarahan bila berlaku kesilapan anak, bukan semata menyuruh tetapi mengajak bersama.  Kepimpinan melalui teladan’, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika dikunjungi wartawan Malaysiaaktif di pejabatnya, semalam.

 

20160609_141006[1]

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Kanak-kanak didefinisikan sebagai `seseorang yang di bawah umur 18 tahun’ mengikut Akta Kanak-kanak 2001. Isu kanak-kanak dibawa orang dewasa dalam aktiviti seperti demonstrasi jalanan telah menarik perhatian masyarakat.

“Kedua ibu bapa sepatutnya menjadi role model untuk dicontohi anak-anak mereka, terutama dari segi mengamalkan gaya hidup sihat dan penampilan diri yang kemas dan ceria. Kanak-kanak ibarat kain putih, maka ibu bapa yang mencorak samada menjadikannya yahudi, nasrani dan majusi”, ujarnya lagi.

“Sejarah Islam dahulu menggambarkan anak-anak dididik dengan rapi hingga mereka ini jadi anak yang luhur dan tinggi akhlak masing-masing. Mereka tidak mencampuri urusan kehidupan orang-orang tua dan ketika usia mereka belum sampai pada waktunya. Berdasarkan asas ukuran itu, sementelahan anak-anak diheret kepada perlakuan negatif dan persekitaran kasar adalah satu pendedahan yang tidak sesuai”, tambahnya.

Cara dan kaedah mendidik anak-anak mengikut hukum syarak dianjurkan, yakni menggalak apa yang disuruh dan menghindar apa yang dilarang agama. Membawa anak menghadiri majlis ilmu misalnya dapat memberi kefahaman jelas dan minda tidak celaru, malah  memberi kesan yang amat baik. Nabi Muhamad SAW menyuruh kita mendidik, mengajar dan menyantuni anak-anak dengan sebaik mungkin.

 

20160610_111401[1]

Prof. Madya Dr. Mariani Mansor.

“Kanak-kanak sedar tentang perbezaan warna dan fizikal seseorang melalui visual dan sentuhan seawal usia tiga hingga lima tahun.  Apabila mencapai usia enam hingga 12 tahun, kanak-kanak faham dan mula berfikir kerana perkembangan kognitifnya bertambah baik.  Manakala dalam proses sosialisasi kanak-kanak berusia 13 hingga 18 tahun, penekanan berinteraksi perlu diberi keutamaan’, ujar Pensyarah Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Kanak-kanak, Fakulti Ekologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mariani Mansor.

“Di sinilah letaknya peranan kemahiran keibubapaan dalam mendorong dan memantau anak-anak ke arah pembentukan diri dan perlakuan yang positif dan baik. Proses sosialiasi yang dialami oleh kanak-kanak mengikut usia pengembangan ini membolehkan ibu bapa mempengaruhi personaliti dan perkembangan kanak-kanak seterusnya”, ujar beliau.

Kanak-kanak mudah dan suka meniru sesuatu yang menarik melalui orang yang rapat dengannya.  Mengikut Teori Bandura, seseorang kanak-kanak meniru disebabkan apa dilihat (model) dan akan terpengaruh.

Dalam konteks masyarakat, tindakan membabitkan kanak-kanak dalam perkara yang diperjuangkan dalam demonstrasi jalanan adalah salah dan bertentangan dengan Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen terhadap Hak Kanak-kanak (CRC). “Kanak-kanak sepatutnya mendapat perlindungan dan tidak didedahkan dengan bahaya seperti itu”, katanya lagi.

 

20160609_162046[1]

Dr. Abdul Jalil Hassan.

Timbalan Pengarah kanan Cawangan Pembangunan, Bhgn Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr. Abdul Jalil Hassan berkata “Cabaran ibu bapa mendidik kanak-kanak zaman dahulu dan sekarang banyak perbezaan.  Dunia dulu tidak banyak pengaruh berbanding pengaruh internet sekarang. Kanak-kanak sekarang banyak bertanya kerana pengaruh media.  Dulu jumpa waktu sekolah, tapi hari ini anak-anak kat sekolah jumpa orang seluruh Malaysia. Macam-macam budaya masuk ke kepala dia. Pergaulan ini membentuk persepsi minda. Corak didikan yang autoriti sudah tidak boleh digunakan sekarang.”

Menyifatkan proses pembelajaran kanak-kanak dalam persekitaran memberi kesan langsung kepada pemikiran dan corak perlakuan, pengaruh ibu bapa dan keluarga adalah penting.

“Anak-anak adalah cerminan ibu bapa. Dalam hal membataskan pergerakan atau perkara menyalahi undang-undang, seeloknya tak perlu bawa anak-anak bersama. Lebih baik beri contoh teladan untuk membentuk peribadi dan kehidupan anak-anak,’ ujarnya lagi.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda