Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Adenan Tak Pernah Lupa Sahabat

By 12 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Mohamad Baharuddin Mohamad & Aishah Latip/Foto: Parno Salamat

KUCHING, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Suasana sedih menyelebungi kira-kira 40 ribu rakyat Sarawak yang hadir bagi upacara penghormatan terakhir kepada Allahyarham Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di Masjid Jamek Kuching pagi ini.

Rakyat Sarawak yang mula hadir sejak 7.00 pagi mulai penuh di pekarangan masjid bagi memberi penghormatan terakhir.

Menurut sahabat Adenan, Peter Wong, 68 dari Kapit Adenan merupakan seorang yang tegas, cepat bertindak dan tidak suka bertangguh-tangguh dalam membuat sesuatu keputusan.
“Saya pernah bekerja bersama Adenan semasa di Jabatan Kerja Raya sekitar 1970 hingga 1980 amat mengagumi Adenan kerana kepimpinan yang sangat baik.

“Walaupun lebih 20 tahun bersahabat, namun sejak menjadi Ketua Menteri, Adenan tidak pernah lupa kami sebagai sahabat. Adenan sering mengajak kami bermain golf bersama dan sering berkunjung ke rumah semasa Tahun Baharu Cina.

“Saya begitu sedih mendengar berita kematian Adenan pada petang semalam dan ini merupakan satu kehilangan yang besar,” ujar Peter.

Pada masa yang sama, Pengerusi Sarawak Baptis Church, Ling Nee Wee, 59 turut menzahirkan rasa sedihnya kerana jasa yang besar Adenan sepanjang menjadi Ketua Menteri.

“Adenan pernah meluluskan beberapa dana untuk memberi kemudahan yang selesa bagi penganut beragama Kristian. Malah, Adenan merupakan seorang Ketua Menteri untuk semua kaum dan agama di Sarawak kerana layanannya yang sama rata kepada rakyat,” ujarnya.

Adenan kembali ke rahmatullah pada 1.24 tengah hari semalam di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak, Samarahan.

Upacara penghormatan terakhir telah bermula pada 11.00 pagi apabila jenazah tiba di Masjid Jamek, Kuching. Seterusnya, majlis disusuli dengan solat jemaah zohor dan solat jenazah.

Jenazah Allahyarham Adenan Satem seterusnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching.

SF

Tinggalkan komen anda