Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomePerak

Empat Sekawan Atasi Perbezaan Untuk Berniaga

By 12 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Mohd Fadzil Azma Mat Saad

TELUK INTAN, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Kedai 1Malaysia memang sinonim dengan kedai yang menawarkan harga yang agak murah berbanding kebanyakan kedai biasa. Namun begitu, di Langkap, di sini, ‘Kedai 1Malaysia’ yang diusahakan oleh sekumpulan empat sekawan ada banyak perbezaan.

Usaha empat orang anak muda yang terdiri daripada Vijai A/L Suppiah, 31, Suaminathan A/L Nathan, 32, Muhammad Anuar Ahmad, 29, dan Khairul Azmi Abd. Razak, 32, bermula pada 10 Januari lalu.

“Kami berkenalan sejak tahun 2009 lagi. Ketiga-tiga mereka adalah kawan baik saya. Kami sering melakukan aktiviti secara bersama namun cadangan untuk berkongsi perniagaan dengan membuka kedai runcit adalah idea spontan yang diberikan oleh Suaminathan pada penghujung tahun 2016,” ujar Anuar.

Anuar sedang menyusun sayur-sayuran untuk dijual

Anuar sedang menyusun sayur-sayuran untuk dijual.

 

Anuar berkata sebelum ini mereka pernah berniaga kecil-kecilan. Namun, empat sekawan ini bertekad untuk membuka kedai bagi membuktikan kemampuan mereka dalam perniagaan selain menyediakan barangan asas pada harga berpatutan.

Dengan modal sebanyak RM 30,000, mereka menggunakan wang sendiri untuk membuka kedai ini tanpa mengharapkan bantuan keluarga.

“Kami memberikan sepenuh kepercayaan antara satu sama lain dalam memastikan perniagaan ini berjalan lancar. Kami turut membuat syif kerja pagi dan petang bagi memastikan urusan perniagaan berjalan lancar” kata Vijai ketika ditemui di kedainya bersama Anuar.

Vijai memastikan barang-barang disusun dengan baik dan rapi.

Vijai memastikan barang-barang disusun dengan baik dan rapi.

 

Mengakui bahawa cabaran utama dalam perniagaan adalah mendapatkan kepercayaan daripada pelanggan, keempat-empat sahabat ini bertekad untuk memajukan perniagaan mereka dengan menjual barangan pada harga mampu milik berpatutan.

“Penduduk di sekitar Langkap rata-ratanya terdiri daripada penduduk kampung yang bekerja sendiri dalam sektor pertanian dan perladangan. Justeru, kami akan menjual barang pada harga yang berpatutan,” ujar Vijai lagi.

Keempat-empat sahabat ini juga merancang untuk memperluaskan lagi perniagaan termasuklah membuka cawangan kedai yang lain.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda