Skip to main content
Berita TempatanSabah

Subsidi Mamogram Hargai Wanita

By 13 Mac 2017Tiada komen4 minit bacaan

Oleh: Zuraidah Ahmad / Foto:Johny George Kimlon (Sabah)

KUALA PENYU, 13 Mac (Malaysiaktif) – Bertuah dan bersyukur, itulah perasaan Angelin Guatin, 45, dari Kampung Bundu Batu 4, apabila terpilih sebagai salah seorang daripada lima penerima Subsidi Mamogram.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberi peluang ini kepada golongan suri rumah yang kurang mampu seperti kami.

“Bagi saya, kesihatan ialah aset untuk seorang wanita yang memikul tanggungjawab menjaga suami dan seluruh ahli keluarga.

Angelin teruja menjalani pemeriksaan mamogram di Kota Kinabalu.

Angelin teruja menjalani pemeriksaan mamogram di Kota Kinabalu.

“Lagipun, semua orang inginkan kesihatan yang baik dan panjang umur supaya dapat melihat anak serta cucu mereka membesar dan berjaya dengan kehidupan masing-masing.

“Setakat ini, saya tidak mempunyai masalah kesihatan tetapi siapa tahu mungkin saya ada potensi mendapat penyakit yang tidak dijangka kerana saya juga mempunyai rakan yang menghidap kanser pada usia begini,” katanya dengan tenang.

Ibu kepada tiga orang anak ini juga menyatakan keterujaannya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut di ibu negeri, Selasa depan.

Angeline berharap kerajaan akan membuka ruang dan peluang kepada lebih ramai lagi suri rumah untuk mendapatkan subsidi berkenaan.

Senada dengannya, ibu kepada lima anak serta nenek kepada enam cucu, Minah Bustamin, 63, yang tinggal di Kampung Berangkok juga tidak sabar membuat pemeriksaan.

Minah berharap terus sihat demi keluarga tercinta.

Minah berharap terus sihat demi keluarga tercinta.

Meski pemeriksaan itu merupakan kali kedua, dia tetap bersemangat kerana ingin selalu sihat demi keluarga tercinta.

“Ini kali kedua saya membuat pemeriksaan mamogram bersama rakan sejak tahun lepas.

“Kalau boleh, saya mahu membuat pemeriksaan lebih kerap untuk memastikan saya sentiasa sihat demi anak dan cucu.

Mereka ditemui pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Parlimen Beaufort di Dewan Datuk Shahbandar Makang dekat sini, pada Sabtu.

Lebih melegakan mereka, pemberian subsidi tersebut disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun yang juga tokoh pemimpin wanita di kawasan itu.

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2017 sebagai tanda komitmen kerajaan terhadap peranan wanita serta penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara ini.

Penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap wanita juga diteruskan dan diperkukuh, malah kerajaan juga memastikan golongan hawa akan sama-sama menjadi tulang belakang dalam menjana ekonomi negara yang mantap selaras dengan tema ‘Wanita Sihat, Keluarga Sejahtera’. Selamat Hari Wanita.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata wanita perlu memberi keutamaan terhadap kesihatan diri bagi memastikan keluarga dapat hidup dengan sempurna.

“Ini penting kerana wanita bukan sahaja menjadi tunjang dalam pembentukan sahsiah ahli keluarga, malah menjangkau hingga l komuniti serta negara.

“Dalam apa-apa jua yang dilakukan, wanita sentiasa meletakkan keperluan ahli keluarga dan individu di sekelilingnya terlebih dahulu, sebelum memberi perhatian kepada keadaan diri sendiri.

Azizah (dua dari kanan, belakang) merakamkan gambar bersama beberapa orang kanak-kanak

Azizah (dua dari kanan, belakang) merakamkan gambar bersama beberapa orang kanak-kanak

“Justeru wajar para wanita perlu memberi keutamaan pada dirinya sendiri terutama membabitkan kesihatan kerana tiada yang lebih menggembirakan hidup seseorang wanita apabila melihat ahli keluarganya hidup sihat dan cergas.

“Namun untuk memastikan keluarganya hidup dengan sempurna, wanita terbabit terlebih dulu perlu memberi perhatian kepada tahap kesihatan dirinya.

“Apabila diri sendiri sihat dan cergas, semua urusan rumah tangga juga lebih mudah dilakukan termasuk mengurus makan dan pakaian anak-anak serta suami.

“Sebaliknya, jika wanita itu sakit atau sering mengalami masalah kesihatan, bukan hanya dirinya yang menderita, tetapi kehidupan individu di sekelilingnya juga terjejas.

“Oleh itu, saya ingin tegaskan setiap ahli keluarga dan masyarakat harus memainkan peranan dan menitikberatkan kesihatan wanita di sekeliling mereka,” ujarnya.

Tambah Azizah, tubuh badan yang sihat akan melahirkan para wanita yang positif dan berdaya saing tinggi.

“Badan yang cergas, membolehkan fikiran yang lebih cerdas dan berdaya saing.

“Wanita yang berpendidikan akan membawa kepada negara yang progresif dan menjadi penyumbang utama dalam merealisasikan wawasan 2020 dan seterusnya menjayakan TN 50.

“Pepatah Inggeris ada menyatakan If you teach a man, you educate an individual, but if you teach a woman, you educate a whole generation.

“Bersesuaian dengan kejayaan dan dorongan positif wanita terhadap pembangunan negara dan tema pada tahun ini ialah Be Bold For Change atau ‘Berani Demi Perubahan.

“Bagaimanapun, bagi Parlimen Beaufort tema khas yang dipilih dan dekat di hati kita ialah ‘Wanita Sihat, Keluarga Sejahtera,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Parlimen Beaufort di Dewan Datuk Shahbandar Makang.

Azizah turut mengalu-alukan golongan wanita untuk merebut peluang mengembangkan perniagaan melalui dua dana yang baharu diluluskan kerajaan iaitu DanaNita dan TemaNita.

Jelas Azizah, DanaNita merupakan pinjaman kewangan dikelola agensi MARA, sementara TemaNita pula dikendali agensi TEKUN yang masing-masing menawarkan dana keseluruhan berjumlah RM35 juta dan RM100juta.

Pada acara bermula seawal 7.00 pagi itu, Azizah bersama kira-kira 2,000 wanita menyertai Larian 2KM yang bermula di dewan berkenaan menuju ke Stesen Minyak Petronas dan berpatah balik.

SF

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda