Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Transformasi Negara: Malaysia di Landasan Ekonomi Sihat

By 24 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan


 Laporan dan foto oleh: Mohamad Zairin Mohamad Zin & Jaitripta Kaur A/P Gajit Singh

SHAH ALAM, 24 Mei (Malaysiaaktif) – “Terbukti langkah-langkah berani yang telah diambil sejak lebih lapan tahun kebelakangan ini, berjaya mencetus momentum demi momentum, yang meletakkan kita terus teguh berada pada landasan ekonomi yang sihat dan betul.”

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata demikian ketika majlis pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam malam tadi. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika berucap di majlis pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Tambah Najib, hasilnya secara langsung membawa manfaat besar seperti yang dikecapi oleh negara dan rakyat pada hari ini.

“Antaranya pertama, usaha kerajaan yang konsisten dalam membela rakyat, telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada 3.8% pada tahun 2009 kepada 0.6% pada tahun 2014 sementara kemiskinan tegar telah hampir disifarkan semuanya.

Antara hadirin yang memenuhi dewan di UiTM Shah Alam, semalam.

“Kedua, kerajaan juga telah berupaya mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak daripada 41% pada 2009 kepada 14.7% pada 2016 dan yang ketiga, sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baru menjelang tahun 2020 dan setakat ini telahpun mencapai angka 69% di mana sebanyak 2.26 juta pekerjaan baru telah diwujudkan,” jelas Najib. 
Selain itu, antara usaha-usaha kerajaan dalam memacu transformasi negara dapat dilihat daripada projek-projek infrastruktur yang giat dijalankan seperti projek Penyambungan Jajaran LRT, pembinaan East Coast Rail Line (ECRL), pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan projek MRT.

Katanya lagi, kerajaan telah berupaya menampung kekurangan daripada hasil minyak melalui perolehan hasil kutipan GST sebanyak RM42 bilion pada tahun 2016.

Juliana Badri

Dalam pada itu, seorang wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang ditemui, Juliana Badri, 45, berkata dalam tidak sedar, banyak kejayaan yang dicapai oleh negara di bawah kepimpinan Najib.

“Saya berharap usaha kerajaan ini akan berterusan dan membawa kepada suatu yang lebih baik terutamanya kepada generasi muda kita kerana golongan ini adalah pemangkin masa depan negara,” ujarnya.

Punitha Munusamy

Mengulas mengenai pembentangan Perdana Menteri, wakil Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP), Punitha Munusamy, 42, berpendapat tiada mana-mana negara yang berani membentangkan laporan yang sebegini teliti.

“Ini menunjukkan beliau prihatin dan berani menunjukkan apa yang sebenarnya diusahakan kerajaan dan saya harap 80% daripada kita dapat memahami apa yang kerajaan telah dan sedang usahakan sekarang ini,” katanya.

Audrey Celine

Sementara itu, bagi seorang pelajar UiTM, Audrey Celine, 22, dia yang berasal dari Sarawak nampak kemajuan itu di negerinya sendiri.

“Sebab bagi saya, pihak kerajaan ini adil dan apa yang sedang diusahakan jelas nampak kepada masyarakat. Melalui program 1AZAM pula, dapat membasmi kemiskinan dengan cara menolong peniaga-peniaga kecil untuk membantu perniagaan mereka.

“Melalui kad siswa yang diberikan oleh kerajaan memberi banyak manfaat kepada pelajar-pelajar,” ujar pelajar jurusan Komunikasi Massa itu. 


-DZ

Tinggalkan komen anda