Skip to main content
Berita TempatanSabah

Rindu Tarawih Bersama Arwah Suami

By 16 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & Foto : Fauzrina Bulka (Sabah)

KOTA KINABALU, 16 Jun (Malaysiaktif) – Air matanya dikesat menggunakan hujung lengan baju. Sesekali wajah tua itu termenung jauh, mengimbau semula saat-saat bersama arwah suaminya berjalan kaki bersama ke Masjid An Nur, Kampung Rampayan untuk mengerjakan solat tarawih.

Namun itu semua hanya memori indah buat Asnah Zainal Abidin, 67, setiap kali menjelang Ramadan kerana banyak kenangan bersama arwah masih berbekas di ingatannya.

“Arwah meninggal lima tahun dahulu akibat sakit tua, selepas itu mak cik masih berupaya bertarawih di masjid ini, tetapi sejak lutut ini sakit, sudah tiga tahun mak cik hanya bertarawih di rumah saja,” ujar Asnah.

Asnah semasa melakukan pendaftaran sebagai penerima Zakat.

Asnah semasa melakukan pendaftaran sebagai penerima Zakat.

Ibu kepada 10 orang anak itu bersyukur mempunyai anak yang sentiasa prihatin kepadanya dan tidak pernah lupa untuk menghubungi bagi bertanyakan khabar.

“Anak-anak semuanya sudah bekerja, mujur anak ketiga tinggal bersama di rumah untuk memudahkan dia menjaga mak cik, dia yang selalu masakkan makanan dan perbelanjaan rumah juga dia yang tanggung,” jelasnya.

Asnah merupakan salah seorang penerima zakat bersama-sama 97 orang yang lain dalam majlis yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid yang dianjurkan di Masjid An-Nur, Kampung Rampayan semalam.

Mengulas lanjut, Asnah berkata sejak  menghidap pelbagai jenis penyakit, dia sudah tidak mampu untuk menyediakan juadah untuk keluarganya walaupun berkeinginan untuk melakukannya.

“Dulu untuk menyambut hari raya, mak cik rajin membuat biskut dan juadah pada pagi raya juga mak cik yang sediakan semuanya kerana arwah suami dan anak-anak gemar makan masakan mak cik,”ujar Asnah.

Namun kini, untuk melakukan solat lima waktu, dia hanya lakukannya dalam keadaan duduk kecuali solat Subuh yang mempunyai dua rakaat sahaja, dia berusaha mengerjakannya secara normal.

“Berpuasa juga mak cik sudah tidak larat, wang yang mak cik dapat hari ini akan digunakan untuk membayar fidyah kerana makcik benar-benar tidak mampu,” katanya.

Perbelanjaan harian Asnah ditanggung oleh anaknya, namun Asnah juga mempunyai simpanan sendiri yang diperoleh daripada wang pencen arwah suaminya dan juga sumbagan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

“Anak-anak juga sering mengirim wang untuk mak cik walaupun mak cik larang kerana tidak ingin menyusahkan mereka yang sudah berkeluarga, tetapi mereka berkeras kerana inginkan keberkatan daripada ibu mereka.

“Mak cik bersyukur dikurniakan anak yang sayang dan jaga mak cik, walaupun mak cik masih rindu kehadiran arwah suami, namun kepulangan anak-anak dan cucu sedikit sebanyak dapat mengubat rindu mak cik padanya,” kata Asnah.

Antarip menerima wang zakat yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid

Antarip menerima wang zakat yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid

Sementara itu, seorang penerima zakat yang juga merupakan bapa tunggal, Antarip Amat,71, turut kehilangan isteri sejak 10 tahun lalu.

Antarip yang mempunyai tujuh orang anak kini tinggal bersama anak ketiganya yang juga merupakan ibu tunggal bersama cucu di Kampung Rampayan.

“Memori saya bersama isteri tidak begitu banyak yang saya ingat, kerana saya seorang yang sederhana dan tidak begitu cerewet menyambut hari raya,” jelasnya.

Menurut Antarip, sebelum ini segala persiapan raya disiapkan sepenuhnya oleh arwah isterinya, maka setiap pakaian yang dipilih atau makanan yang dimasak akan dinikmati olehnya.

“Sekarang saya sudah tidak bekerja dan hanya berharap dengan wang bantuan daripada kebajikan dan juga pemberian anak-anak, tetapi kalau tidak di beri pun saya tidak pernah minta kerana tahu anak-anak juga ada masalah masing-masing.

“Wang yang saya terima hari ini saya gunakan untuk bayar zakat, beli sedikit baju baharu untuk diri sendiri dan untuk menyambut hari raya pula saya tidak akan lupa untuk memasang pelita di sekeliling rumah,”ujarnya.

Rutin hariannya kini dihabiskan dengan melakukan ibadah dan berkumpul bersama kawan-kawan dan beliau turut bertuah dalam umurnya sekarang tidak dihidapi sebarang penyakit.

-SF

 

 

Tinggalkan komen anda