Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Zahid – Pesara Harus Berterima Kasih

By 15 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Abdul Razak Zakaria (Hulu Langat)

SERDANG, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – “Pesara di negara ini digesa agar terus menjadi golongan berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberi dan menyediakan segala kemudahan termasuk berkenaan sektor kewangan walaupun sudah tidak berkerja lagi dalam perkhidmatan awam.”

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan 1Pesara Malaysia di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

“Golongan pesara juga diharap dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta tidak mengkhianati kerajaan yang telah banyak membantu dari segi memberi kehidupan kepada kita termasuklah memberi perlindungan,” ujar Zahid lagi.

Seramai 7,500 orang terdiri daripada pesara dan bakal pesara yang berkhidmat dalam sektor awam dan veteran tentera hadir ke perhimpunan tersebut.

Antara pesara yang hadir pada perhimpunan tersebut.

Antara pesara yang hadir pada perhimpunan tersebut.

Pesara ialah rakan strategik yang penting kepada kerajaan. Pesara berperanan untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat sekitar, maklumat dan respons masyarakat tentang penyampaian perkhidmatan kerana pesara juga adalah pelanggan di Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan.

Pada majlis yang sama, Ahmad Zahid turut membuat prapelancaran ‘My Beautiful Life for Seniors’ (BLFS) yang merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas memperoleh kehidupan yang produktif dan bermanfaat.

Katanya, BLFS bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober ini  bersempena dengan Hari Warga Emas.

“Inisiatif ini adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memberi peluang dan perkhidmatan lebih baik kepada warga emas di seluruh negara,” kata Ahmad Zahid.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda