Balu Syukur Perkeso Bantu Pantas Selepas Kematian Suami

8ed0b168-4a00-4a2a-bbd1-3f02a545e16b

 

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Balu mangsa yang maut dalam kejadian kebakaran kilang simen di Rawang minggu lepas mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) cawangan Rawang yang pantas mengambil tindakan membantu mendapatkan hak-haknya sebagai waris pencarum.

“Saya menerima banyak panggilan pihak tertentu yang ingin membantu menguruskan pelbagai urusan berkaitan tuntutan di Perkeso, namun saya dinasihatkan oleh pegawai Perkeso Rawang agar tidak percaya dan menghubungi pihaknya jika ada sebarang kemusykilan.

“Dalam keadaan sedih dan terkejut saya hampir terpedaya dengan pihak tersebut, nasib baik pegawai Perkeso Rawang memaklumkan pihaknya tidak melantik orang tengah dan panggilan tersebut adalah pihak yang ingin mengambil kesempatan,” ujar Nurul Nadia Musa, 35.

Banyak pihak membuat panggilan untuk kononnya menguruskan tuntutan Perkeso, tetapi sebenarnya ingin mengambil kesempatan - Nurul Nadia Musa

Banyak pihak membuat panggilan untuk kononnya menguruskan tuntutan Perkeso, tetapi sebenarnya ingin mengambil kesempatan – Nurul Nadia Musa

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima cek Faedah Pengurusan Mayat daripada Pengurus Perkeso Rawang, Zamri Draman, di rumahnya pagi tadi.

Sementara itu, Zamri berkata pihaknya mempunyai Skuad Prihatin Perkeso yang akan membantu waris pencarum secepat mungkin kerana sekiranya berlaku kematian atau kemalangan kepada pencarum, waris mereka memerlukan bantuan kewangan untuk menyelesaikan pelbagai urusan.

“Skuad ini mendapat maklumat awal daripada sumber seperti media massa dan mereka bertindak dengan segera untuk menyerahkan faedah-faedah tertentu pencarum.

“Bagi Allahyarham Zamri Adenan, warisnya akan mendapat Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2000 dan Faedah Orang Tanggungan lebih kurang RM3,500 sebulan yang akan dibayar seumur hidup waris tersebut,” jelas Zamri.

Beliau mengingatkan agar pencarum atau waris tidak terpedaya dengan pihak-pihak yang sentiasa ingin mengambil kesempatan dengan menawarkan perkhidmatan menguruskan sebarang tuntutan faedah Perkeso kerana pihaknya tidak pernah melantik orang tengah untuk sebarang urusan.

“Mereka boleh datang atau menghubungi pejabat Perkeso yang berdekatan bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mengenakan caj perkhidmatan tertentu, sedangkan urusan kami adalah percuma sahaja,” katanya.

Pada 3 November lalu, kejadian kebakaran kilang simen Lafarge di Rawang menyebabkan Zamri dan dua rakannya maut selepas terjatuh ke dalam tangki minyak diesel dan mayat mereka berjaya dikeluarkan keesokannya setelah kerja-kerja memindahkan minyak diesel menggunakan 12 lori tangki selesai.

 

-AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...