Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

Kemalangan Tidak Boleh Dipandang Remeh – Noh Omar

By 16 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Noorshazana Shaadan & Mohamad Fadzli Mohamed Amir (Port Dickson)

PORT DICKSON, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Daripada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kejadian insiden mati lemas telah meningkat daripada 260 kes pada tahun 2016 kepada 327 kes pada tahun 2017.

Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, sebanyak sebanyak 65 insiden mati lemas telah direkodkan dan menunjukkan purata satu kes lemas dicatatkan setiap hari.

Turut diadakan demonstrasi menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Turut diadakan demonstrasi menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Kemalangan yang melibatkan nyawa ketika aktiviti air ini tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan di air dan sebagai langkah proaktif, KPKT akan mengkaji semula undang-undang bagi tujuan penguatkuasaan keselamatan di air dan kawasan rekreasi.

“Kementerian akan melihat kembali undang-undang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu demi menjaga nyawa dan keselamatan berikutan arahan larangan dan amaran yang dipamerkan tidak diendahkan oleh orang ramai,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan di Air 2018 di Pantai Cahaya Negeri di sini hari ini.

Garis Panduan berkaitan keselamatan air turut akan disediakan sebagai panduan untuk kegunaan Pihak Berkuasa Tempatan.

KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti lokasi berisiko dan telah mengkategorikan sebanyak 12 kawasan berisiko tinggi dan 34 kawasan berisiko di seluruh negara.

Noh (tiga dari kiri) menyampaikan risalah keselamatan kepada wakil jabatan yang hadir.

Noh (tiga dari kiri) menyampaikan risalah keselamatan kepada wakil jabatan yang hadir.

“Menjelang cuti sekolah, JBPM akan menempatkan anggota di kawasan yang berisiko untuk membantu sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan,” tambahnya lagi.

Noh turut mengumumkan KPKT telah meluluskan sebanyak RM1.5 juta peruntukan untuk menaiktaraf cerun bukit di Taman Anggerik, pembinaan surau di Pantai Cahaya Negeri serta pembinaan gerai makanan di Pantai Saujana, Batu 4.

Sementara itu, seorang pelajar universiti awam, Mohd Hazazi Shamsudin, 21, berkata keselamatan air bukan hanya tertumpu pada keselamatan semasa mandi di laut sahaja, tetapi semua aktiviti yang melibatkan air juga perlu dijaga.

“Saya pernah kehilangan kawan sebab lemas ketika mandi laut. Dan ini menimbulkan kesedaran kepada saya untuk menjaga keselamatan ketika berada di air,” kata Hazazi

Tambahnya, semua individu perlu tahu akan langkah keselamatan yang boleh diambil sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan ketika di air.

“Kebolehan berenang sahaja tidak mencukupi kalau tidak tahu langkah yang betul untuk menyelamat,” ujarnya lagi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias dan Ahli Majlis Aktiviti Air Negara, Tan Sri Lee Lam Thye.

– SH

Tinggalkan komen anda