
LAPORAN : Asmidar Zainol / FOTO : Jeffren Malaning (Sabah)
KOTA KINABALU, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mempelbagaikan destinasi pelancong dalam bandar untuk tarikan pelancong ke bandaraya berkenaan.
Ketua Pengarah DBKK, Datuk Joannes Solidau berkata salah satu usaha tersebut adalah dengan mencari tapak-tapak sejarah di kawasan sekitar Kota Kinabalu.
“DBKK melalui Jawatan Kuasa Pelancongan Bandaraya Kota Kinabalu berusaha mencari tempat-tempat bersejarah yang boleh dijadikan tarikan pelancong.
“Kami telah menemui empat terowong peninggalan zaman Perang Dunia Kedua yang mana dua terowong berkenaan terletak di belakang Dewan Masyarakat Kota Kinabalu dan dua lagi di atas Bukit Kampung Kopungit,” ujarnya semasa mengadakan lawatan ke tapak peninggalan sejarah berkenaan pada khamis.
Joannes turut berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar (KePKAS) dan Lembaga Pelancongan Sabah bagi mendapatkan dana menaik taraf terowong-terowong berkenaan.
“Kerja-kerja menaik taraf kawasan ini memerlukan sedikit kos jadi kita akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar serta Lembaga Pelancongan Sabah untuk mencari kaedah bagaimana tempat ini dapat dibangunkan dan dijadikan sebagai salah satu tempat lawatan bersejarah.
“Lokasi terowong ini juga sangat strategik kerana orang ramai bukan sahaja boleh beriadah tetapi juga dapat melawat ke tempat-tempat bersejarah ini.
“Salah satu terowong di atas bukit Kampung Kapunyit agak panjang dengan 16 hingga 20 meter panjangnya dan dapat ditembusi.
“Manakala satu lagi terowong yang terletak di bawah sedikit, laluannya masih bersemak tetapi lebih besar dari terowong-terowong lain yang digunakan sebagai lokasi mereka berlindung semasa peperangan,” jelasnya.
Hadir sama semasa lawatan tersebut adalah Pengarah Muzium Sabah, Mansur Asan, Ahli Dewan Undangan N16 Luyang, Datuk Agnes Shim dan Ketua Kampung Kopungit, Kiun Solidau.
- MRR