12 Projek Kementerian Kesihatan Malaysia Dilancarkan Di Pulau Pinang

IMG-20180413-WA0026
Laporan Dan Foto Oleh : Abdul Waasiek Ahmad Fikri, Ahmad Faiz Mansur dan Azimee Abdullah. ( Pulau Pinang ) 

 

BALIK PULAU, 13 Apr ( Malaysiaaktif ) – Kerajaan Persekutuan telah melancarkan 12 projek Kementerian Kesihatan Malaysia di negeri Pulau Pinang bernilai hampir RM 1.2 bilion.

IMG-20180413-WA0028Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau di sini, semalam bersempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat.

IMG-20180413-WA0029

Antara 12 projek yang dilancarkan itu adalah pembinaan blok klinik pakar dan wad Hospital Pulau Pinang sebanyak RM 500 juta, kuarters Hospital Pulau Pinang sebanyak RM 75 juta, Kolej Jururawat Masyarakat Kepala Batas sebanyak RM 108.45 juta dan menaik taraf Hospital Seberang Jaya sebanyak RM 496.2 juta.

Bagi Farah Aulia, 24, beliau menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan dan meningkatkan mutu kesihatan di negeri Pulau Pinang.

“Saya teruja dengan projek-projek kesihatan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri tadi kerana kesihatan merupakan elemen penting bagi individu untuk menjalani kehidupan dengan selesa,” katanya.

Manakala bagi Ahmad Yaakob Suffian, 59, beliau menzahirkan rasa terharu dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pada majlis yang dihadiri oleh seramai 10,000 orang itu.

“Saya berasa sungguh terharu dan terhutang budi kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana Pulau Pinang adalah negeri yang ditadbir oleh pembangkang namun atas keprihatinan Datu Seri, beliau masih lagi menjaga rakyat Pulau Pinang”,ujarnya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Luar Negeri.

-AZR-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...