Jalan Baharu Galak Pertumbuhan Penduduk Sungai Kelai

1

 

 Laporan dan Foto : Ramasamy Amas & Siti Noorezrin Mahmood (Jempol)

JEMPOL 17 April (Malaysiaaktif) – Projek Jalan Baru Kok Foh-Palong 12 yang menghubungkan antara Ladang Kok Foh dan Palong 12 akan menggalakkan pertumbuhan penduduk dan ekonomi kampung orang asli Sungai Kelai.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, projek ini telah diluluskan dalam rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) di bawah Rolling Plan (RP1) yang akan memberi banyak manfaat kepda penduduk sekitar.

Mohamad (berbaju putih) disambut penduduk setempat sempena lawatan kerjanya siang tadi.

Mohamad (berbaju putih) disambut penduduk setempat sempena lawatan kerjanya siang tadi.

“Projek ini meliputi kawasan jajaran yang akan menjadi jalan perhubungan dan alternatif terdekat bagi pihak keselamatan dan kecemasan untuk tiba segera ke lokasi terutamanya di Sungai Kelai.

“Projek membina jalan baharu Kok Foh – Kampung Sungai Kelai Felda Palong 12 ini terletak dalam Daerah Jempol di bawah Parlimen Jempol dan memberi manfaat khusus buat DUN Jeram Padang dan Palong,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Tapak Pembinaan Jalan Baru Kok Foh Kampung Sungai Kelai Felda Palong 12 sejauh 10.075KM semalam.

Beliau turut menjelaskan kerajaan akan melaksanakan satu lagi jalan jajaran melibatkan Kampung Gagu ke Beranang yang hanya mengambil masa 30 minit sahaja perjalanan.

Mohamad ketika berucap merasmikan majlis.

Mohamad ketika berucap merasmikan majlis.

“Daerah Jelebu akan mejadi hub pembangunan masyarakat dan ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang dan Malaysia Vision Valley (MVV) yang bermula dari Bandar Nilai hingga ke Bandar Port Dickson melibatkan projek pembangunan yang mampan bagi tempoh 30 tahun akan datang,” tambahnya.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Rahim Khalid, berkata projek yang bernilai RM42.135 juta memberi impak baik kepada penduduk Kampung Sungai Kelai dan Peneroka Felda Palong 12.

“Mereka dapat memendekkan jarak perjalanan ke Pekan Rompin hampir setengah jam berbanding sekarang mengambil masa satu setengah jam.

“Projek ini merupakan peruntukan khas daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi kesejahteraan penduduk luar bandar dan ianya akan diselia oleh JKR Negeri Sembilan dan JKR Daerah Jempol,” ujarnya.

-SH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...