Skip to main content
Home

Sidang ASEAN Ke-24 Mula Dengan Mesyuarat Pegawai Kanan

By 24 April 2015Tiada komen1 minit bacaan

KUALA LUMPUR – Para Pegawai Kanan dari negara anggota ASEAN mula berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pagi ini untuk membincangkan butiran terperinci dan kemajuan pelbagai isu berkaitan dengan Sidang Kemuncak Asean Ke-26.

Mesyuarat yang dijadual berlangsung hari ini ialah Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap ke ASEAN (CPR) dan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Peringkat Tinggi Ke-10 bagi Kumpulan Kerja Integrasi Ekonomi ASEAN pasca 2015.

Pada malamnya, para pegawai kanan dan delegasi akan menghadiri majlis makan malam di Malaysian Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas, di sini.

Sementara itu Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dijadual mengadakan sidang akhbar mengenai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 pada 3.30 petang di KLCC.

Sidang Kemuncak dua hari itu yang berlangsung pada 26-27 April, akan menumpukan antara lainnya kepada kemajuan yang dicapai berkaitan penubuhan Komuniti ASEAN pada penghujung 2015 dan merangka pelan tindakan seterusnya untuk membawa perkumpulan serantau itu ke tahap yang lebih tinggi.

Sidang kemuncak tahunan itu yang mengumpulkan bersama kesemua sepuluh pemimpin perkumpulan, berlaku pada tempoh yang penting ketika anggota ASEAN berusaha keras untuk merealisasikan penubuhan Komuniti ASEAN yang telah lama diimpikan, yang bertujuan mengukuh dan mengeratkan lagi penyepaduan serantau.

ASEAN terdiri dari 10 negara, iaitu, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda