Skip to main content
GlobalHomeViral

Derita Rohingya: ASEAN, PBB Perlu Berdepan Dengan Myanmar

By 19 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar (MERHROM) melahirkan rasa sedih berikutan tragedi terbaharui yang menimpa  ribuan pelarian etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh yang terperangkap dalam bot di lautan.

Menurut Presiden MERHROM, Zafar Ahmad Bin Abdul Ghani, ini adalah bukti masyarakat itu terus menjadi sasaran kezaliman kerajaan Myanmar.

Beliau berkata mereka berhadapan pelanggaran norma-norma hak asasi manusia oleh kerajaan negara sendiri hingga menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai sejak turun temurun.

Mereka dibiarkan melarat, merempat dan mati di kem-kem usang di tanah air sendiri tanpa makanan, air minuman dan perubatan daripada pihak berwajib.

Zafar berkata, kerana tidak tahan dengan keadaan itu, mereka mengambil risiko untuk mendapatkan perlindungan di negara-negara lain.

Beliau juga sedih apabila mendengar betapa beribu pelarian yang menaiki bot-bot usang dinafikan perlindungan dan diusir kembali ke samudera untuk berhadapan dengan pelbagai wajah bahaya.

Dianggarkan kira-kira 8,000 orang pelarian yang berada di atas bot telah diusir dan sekarang terapung tanpa boleh ke mana-mana.

Zafar bertanya berapa lama lagi mereka boleh bertahan di laut dengan makanan yang sedikit selain perubatan, memandangkan mereka sudah terapung hampir dua bulan.

Ramai di antara mereka terdiri daripada anak kecil, bayi dan wanita.

Zafar melahirkan rasa kecewa dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) kerana hingga ke saat ini mereka membisu seribu bahasa, walaupun nyawa manusia terancam.

Beliau tidak nampak peranan UNHCR, selain membaharui kad UNHCR yang dipegang oleh pelarian, dan sekarang mereka tidak lagi mendaftar pelarian yang baharu tiba.

“Di mana rasa prihatin terhadap nyawa untuk menyelamat dahulu dan fikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ini kemudian?’ Tanya Zafar.

Sementara itu, MERHROM  mengucapkan terima kasih kepada Kelab Putra 1Malaysia yang tampil untuk mmembantu pelarian Rohingya yang baharu tiba.

Zafar berkata demikian dalam satu siaran media yang dikeluarkan pada Isnin.

 

 

 

Tinggalkan komen anda