Skip to main content
HomeViral

Dua Pemandu MyVi Kemalangan DUKE dihadap Ke Mahkamah

By 8 Mei 2015Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

KUALA LUMPUR, 8 Mei — Dua pemandu Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) sehingga meragut nyawa tiga beranak, termasuk bayi berusia enam bulan Sabtu lepas, dihadapkan ke Mahkamah Trafik di sini, Jumaat.

Siti Noor Aini Mohd Said, 36, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan.

Mereka didakwa memandu Perodua Myvi secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian suami isteri, Fairuz Nizam Husain, 35, dan Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, di km 6.2 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta, pada pukul 1.05 pagi, 2 Mei lepas.

Siti Noor Aini yang memandu Myvi kuning manakala Mohammad Fizal Reza yang memandu kereta berwarna putih, didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan mereka berdepan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000.

Ketika ditanya jurubahasa sama ada mereka faham pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh berkata “kami faham dan mengaku tidak bersalah”.

Dalam kejadian pada awal pagi Sabtu itu, kedua-dua tertuduh didakwa hilang kawalan dan melanggar kenderaan yang dinaiki tiga sekeluarga menyebabkan Fairuz Nizam terbunuh di tempat kejadian, manakala isteri serta bayinya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Semasa kejadian, pasangan suami isteri itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Putrajaya.

Mereka meninggalkan dua anak perempuan Nur Firuza Amira, tujuh tahun, dan Nur Firuza Aqila, tiga tahun.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin, lesen memandu ditahan dan pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai kes.

Mahkamah juga menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, lesen memandu digantung dan pasport mereka ditahan sehingga kes selesai.

Suhaimi juga memberitahu pihaknya akan membuat permohonan supaya kedua-dua kes itu dibicarakan sekali pada tarikh sebutan nanti.

Bagaimanapun, peguam S. Praksah dan S. Ravenesan yang mewakili Siti Noor Aini memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya itu masih menyara seorang anak dan ibunya.

“Jumlah yang ditawarkan adalah tinggi kerana anak guam saya bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah restoran dengan pendapatan RM2,000 sebulan,” katanya.

Peguam Hashim Ibrahim mewakili Mohammad Fizal Reza juga memohon jumlah jaminan yang sama memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai juruteknik komputer dan perlu menanggung dua anak masih kecil.

Mahkamah dipenuhi anggota keluarga tertuduh dan media yang berada di galeri awam sejak pukul 8.30 pagi dan prosiding yang bermula pukul 10.40 pagi itu berlangsung dalam keadaan tenang.

Peguam pemerhati C. Leo Camoens mewakili keluarga mangsa. Bagaimanapun anggota keluarga mangsa tidak kelihatan di mahkamah.

Sementara itu, ketika dibawa keluar dari mahkamah, Siti Noor Aini yang digari tangannya menutup muka menggunakan selendang manakala rakannya Mohammad Fizal Reza yang juga digari kelihatan tenang dan tersenyum ke arah jurugambar serta orang awam.

Ketika ditemui Bernama, seorang wanita yang mengaku ibu saudara kepada Mohammad Fizal Reza berkata keluarga mereka sedang berusaha mengumpul wang bagi membayar jaminan anak saudaranya itu.

“Kami menerima panggilan daripada polis malam tadi menyatakan dia akan didakwa hari ini dan tidak pula diberitahu berapa jumlah yang perlu kami sediakan. Jadi hari ini kami masih berusaha mendapatkan wang jaminan itu,” kata wanita itu yang enggan mendedahkan namanya.

Beliau hadir bersama anggota keluarga lain kerana ibu Mohammad Fizal Reza masih dalam keadaan terkejut dan tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda