Skip to main content
Berita TempatanHomeViral

Ibu Perlu Kuasai ICT Bantu Atasi Masalah Sosial Remaja

By 24 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

IPOH, 24 Mei  — Para ibu disaran menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutama penggunaan telefon bimbit dan media sosial bagi membantu mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja, kata Raja Datuk Seri Yong Sofia Sultan Azlan Shah.

Beliau berkata dengan menguasai ICT, para ibu dapat mengikuti aktiviti harian anak bagi mengenal pasti masalah golongan remaja yang bermula dari rumah.

“Anak-anak kini berada dalam arus deras teknologi, sebut sahaja Facebook, Instagram, dan Twitter pasti mereka arif mengenainya. Oleh itu, jika para ibu menguasai ilmu (teknologi) sudah tentu mereka dapat mengawal keadaan.

“Kepada anak-anak pula, jadikan hari ibu sebagai momentum kepada kita untuk mengenang, menghargai, dan berbakti kepada ibu,” katanya ketika berucap selepas merasmikan Majlis Anugerah Hari Ibu 1Malaysia peringkat negeri anjuran Persatuan India Muslim (PRIM) Perak di sini malam tadi.

Sempena majlis itu, enam individu dinobatkan Tokoh Ibu iaitu Dr Rahmathunisaa Begum Sheik Ameer, 70; Baseera Begam Abdul Rahman, 65; G. Sarojini, 50; Cheong Lai Khee, 39; Ninderjeet Kaur, 50; dan Syarifah Junaidah Syed Idrus Al-Jamalulail, 45.

Tokoh Ibu, Syarifah Junaidah berkata beliau sangat terharu dan tidak menyangka menerima anugerah berkenaan yang dianggap sebagai satu anugerah yang sangat mulia.

Beliau yang mempunyai pusat kecantikan sendiri terlibat dengan pelbagai aktiviti kebajikan termasuk menjadi setiausaha Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia cawangan negeri Perak.

“Walaupun saya merupakan ibu tunggal, saya sangat menitikberatkan aktiviti kebajikan terutama bagi membantu golongan ibu tunggal yang perlu membesarkan anak tanpa suami.

“Saya menasihatkan semua ibu tunggal tidak berputus asa malah dapat membantu satu sama lain kerana jika kita tidak majukan diri, tiada siapa lagi yang boleh mengubah nasib kita,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Bagi Cheong Lai Khee berkata beliau yang bekerja sebagai penolong pengurus jualan di Restoran Makanan Old Town, aktif membantu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu melalui Oldtown Children Carefund (OCAF).

“Saya terkejut selepas diberitahu mengenai penganugerahan ini dan tidak pernah mengetahui kewujudan anugerah tokoh ibu berkenaan yang telah diberi sejak beberapa tahun lalu.

“Bukan senang untuk membahagikan masa dengan bekerja sambil melakukan aktiviti kebajikan, saya juga sedang menyambung pelajaran dan perlu menjaga keluarga saya tetapi semua berjalan dengan lancar jika kita lakukan yang terbaik dan seikhlas hati,” katanya.

Beliau yang mempunyai tiga orang anak merupakan pelajar cemerlang selepas menerima anugerah dekan sebanyak 8 kali dan bakal menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pemasaran di Open University Malaysia (OUM) hujung tahun ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda