Skip to main content
Home

Jenazah Habibah di Hospital Tentera Rawalpindi – Wisma Putra

By 10 Mei 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Jenazah Allahyarham Datin Habibah Mahmud, isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, yang terkorban dalam nahas helikopter di utara Pakistan, tiba di Islamabad pada pagi Sabtu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata jenazah sekarang berada di Hospital Tentera Rawalpindi dan kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Pakistan untuk mempercepatkan urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia.

“Kementerian telah mengarahkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan usaha membawa pulang jenazah Allahyarham berjalan lancar.

“Kementerian ingin mengucapkan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga mangsa dan akan terus bekerjasama untuk memastikan urusan membawa pulang jenazah Allahyarham berjalan lancar,” menurut kenyataan kementerian itu Sabtu.

Habibah ialah seorang daripada tujuh individu yang dilaporkan terbunuh dalam nahas helikopter itu di Lembah Naltar di kawasan Gilgit-Baltistan.

Helikopter itu membawa sekumpulan duta asing dan isteri masing-masing untuk menghadiri acara rasmi anjuran kerajaan Pakistan apabila pesawat malang itu terhempas.

Sementara itu, kenyataan itu berkata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Dr. Hasrul Sani Mujtabar, yang terselamat dalam insiden itu dan hanya cedera ringan, juga telah tiba di Islamabad dan kini menjalani rawatan lanjutan di hospital yang sama.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda