Skip to main content
HomeViral

Penghasilan Penyiar, Kandungan Perlu Kelas Dunia

By 26 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 26 Mei — Penyiar dan penyedia kandungan media tradisional mesti menghasilkan kandungan berkelas dunia rentas sempadan yang boleh ditonton di seluruh dunia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata satu daripada cara untuk mereka bersaing dan menjadi tumpuan orang ramai pada masa ini ialah menggunakan kebangkitan platform media sosial.

“Mereka boleh menjalinkan kerjasama dengan penyedia over the top (OTT) dan menawarkan kandungan sebagai sebahagian daripada pakej mereka seperti HBO dan CBS di Amerika Syarikat dan Tonton di Malaysia tawarkan.

“Saya percaya selaku pengamal dan pakar penyiaran, anda semua tahu jawapan yang lebih baik daripada saya,” katanya dalam ucaptama pada perasmian Sidang Kemuncak Media Asia (AMS) 2015 di sini Selasa.

grpshake

Malaysia menjadi tuan rumah AMS 2015 ke-12 membabitkan 500 pengamal media di seluruh dunia berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai penyiaran kewartawanan pada acara tiga hari itu yang bermula hari ini.

Ahmad Shabery berkata perkhidmatan video OTT menyampaikan kandungannya di rangkaian jalur lebar dan menawarkan ciri-ciri seperti interaktiviti dan paparan non-linear.

“Orang ramai mahu menonton apa yang mereka mahu lihat, bila mereka mahu, di mana mereka mahu dan menggunakan apa sahaja alat yang mereka mahu,” katanya.

Sementara itu beliau berkata penyiar perlu meningkatkan penggunaan data penonton untuk menghasilkan rancangan yang mahu ditonton oleh orang ramai.

“Menggunakan data itu, anda berkeupayaan untuk menyasarkan pengguna dan mengarahkan kandungan yang sesuai dengan profil mereka.

“Mengetahui data dan mempunyai hubungan langsung dengan pelanggan adalah kunci untuk terus kekal menghadapi cabaran perkhidmatan OTT,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda