Skip to main content
Home

Peserta Selangor Juara Pertandingan Akhir Kuiz ASEAN

By 22 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Farahdilawati Mohd Khamde

PUTRAJAYA, 22 May, 2015 (Malaysiaaktif) – Peserta dari Selangor, Amirah binti Ahmad Lotfi baru sahaja digelar juara Pertandingan Akhir  Kuiz ASEAN 2015 yang berlangsung di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini, dengan topik “Komuniti ASEAN : Apa Maknanya  kepada Saya?”.

Naib juara diraih oleh Mohd Khaidzir Farhan bin Abidin juga dari Selangor dengan topik “Malaysia dan ASEAN” dan tempat ketiga dimenangi oleh Lee Jun Xin dari Johor dengan topik “Belia dan Program Kesukarelawan ASEAN”.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia ini dirasmikan oleh Mohd Suhaimi Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah, Pasukan Peringkat Tinggi Visi Komuniti ASEAN Pasca-2015, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Pertandingan ini dianjurkan sejajar dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan untuk merakyatkan ASEAN berasaskan tema “Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita” (Our People, Our Community, Our Vision).  Matlamatnya untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran belia mengenai peranan ASEAN, kepengerusian ASEAN serta menyokong agenda pembentukan Komuniti ASEAN.

Berbeza daripada tahun sebelum ini, peserta separuh akhir dan Pertandingan Akhir Kuiz ASEAN Khas 2015 perlu menyampaikan Pengucapan Awam berkaitan topik mengenai ASEAN. Idea penyampaian Pengucapan Awam ini dicetuskan oleh Datuk Ibrahim.

Pertandingan terbuka hanya kepada belia berumur 18 tahun hingga 30 tahun.

Pertandingan peringkat saringan diadakan di seluruh negara pada 25 April 2015 dan seramai 27 orang peserta telah bersaing di peringkat separuh akhir pada 20 Mei 2015. Penyertaan tertinggi adalah dari negeri Selangor diikuti dengan negeri Sabah dan Johor.

Barisan juri diketuai oleh Norli Muadza Mohd Noor dari Jabatan Sosio Budaya Masyarakat ASEAN, Sekretariat Kebangsaan ASEAN Kementerian Luar Negeri, Mohd Mohiyuddin Mohd Sulaiman, Pensyarah Universiti Teknologi Mara dan Ahmad Badaruddin bin Abdul Haq, Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia.

Pemenang dinilai berdasarkan kriteria-kriteria seperti kemampuan mengutarakan isi dan fakta bernas, penguasaan bahasa, gaya penyampaian, kemahiran menggunakan teknik dan kaedah komunikasi serta ketepatan fakta berkenaan ASEAN.

Antara tajuk-tajuk menarik pengucapan awam termasuk ASEAN dan Promosi Hak Asasi Manusia, Sumbangan ASEAN kepada Keamanan dan Keselamatan Serantau, ASEAN Bebas Dadah, ASEAN : Perpaduan Dalam Kepelbagaian, Cabaran Merakyatkan ASEAN dan Daya Saing Dalam Menghadapi Komuniti Ekonomi ASEAN.

Kesemua 10 orang peserta akhir Pertandingan Akhir Kuiz ASEAN pasti membawa  pulang. Johan menerima hadiah wang tunai RM 2, 500, gajet, trofi dan  sijil penyertaan. Naib Johan menerima wang tunai RM 1,500, gajet, trofi dan sijil penyertaan dan tempat ketiga menerima wang tunai RM 1,000, trofi dan sijil penyertaan.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia ini dijayakan bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri serta agensi-agensi di bawah KKMM.

Tinggalkan komen anda