Skip to main content
HomeViral

Polis Akan Panggil Ibu Bapa Kanak-Kanak Kerana Cuai

By 27 Mei 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KOTA BAHRU, 27 Mei (Malaysiaaktif) — Polis Kelantan akan memanggil ibu bapa tiga kanak-kanak menetap di flet Jalan Bayam yang mengikut seorang lelaki tidak dikenali lebih 48 jam semalam dan dipercayai cuba dilarikan.

Ketua polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata ia bagi menyiasat kemungkinan ada unsur kecuaian ibu bapa itu menjaga anak mereka.

Beliau menafikan tindakan membawa kanak-kanak itu ke sempadan Rantau Panjang dan Gua Musang dalam tempoh itu mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pusat gym dan fitness di ibu pejabat polis kontinjen Kelantan.

Semalam seorang individu berusia 29 tahun di reman kerana dipercayai cuba melarikan tiga kanak-kanak bawah umur di Kota Bharu Kelantan.

Mangsa seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia sembilan tahun dan seorang kanak-kanak 13 tahun bersama mangsa lebih 48 jam dan ditemui awal pagi semalam di percayai cuba dibawa ke negara jiran dan kemudian ke Terengganu.

Lelaki dari Kampung Padang, Bachok itu di reman tujuh hari untuk siasatan lanjut kerana melarikan kanak-kanak selepas selesai perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu.

Datuk Mazlan berkata kes itu tidak mempunyai kaitan dengan remaja 22 tahun yang turut di reman semalam dipercayai menculik kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun di Masjid Muhammadi Jumaat lalu.

Malah, katanya kedua-dua kes itu tidak mempunyai kaitan dengan sindiket tertentu.

Bagaimanapun, jelasnya polis masih menyiasat kes lelaki melarikan tiga kanak-kanak itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Tinggalkan komen anda