Skip to main content
Berita TempatanHomeViral

UNITV, Portal Web Untuk Pelajar, Pendidik, Dilancar

By 17 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 17 Mei  — Satu platform komunikasi digital dikenali sebagai unitv, yang menggunakan video, audio dan bahan cetak meliputi kandungan pendidikan dan fiksyen, akan dibangunkan secara berterusan untuk memberi manfaat kepada pelajar universiti, pendidik serta orang ramai, yang berpotensi mencapai hingga enam juta pengguna.

UNITV, yang dibangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan syarikat penerbitan OrangeTree Production, disasarkan menjadi pusat sehenti bagi pengguna untuk mengakses dan berkongsi bahan, pengetahuan serta maklumat.

“Impak daripada kewujudan unitv ialah terhasilnya satu platform dinamik untuk para belia kita,” kata Naib Canselor UUM Datuk Wira Dr Mohamed Mustafa Ishak dalam kenyataan dikeluarkan selepas pelancaran UNITV dan upacara menandatangani meorandum persefahaman (MoU) antara UUM dan OrangeTree di Sintok pada Jumaat.

Projek UNITV ini akan mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk disiapkan.

Dr Mohamed Mustafa berkata UNITV menyediakan akses mudah untuk pelajar kepada rakaman tutorial, kegiatan memuat naik dan memuat turun tugasan serta dokumentari dan mendokumentasikan bahan pendidikan, di samping penstriman program motivasi.

Mereka juga akan mempunyai akses kepada drama dan program realiti serta boleh menonton forum, menulis blog dan memuat naik video yang memberi kesan positif terhadap masyarakat.

Pada majlis menandatangani MoU itu, UUM diwakili Dr Mohamed Mustafa, manakala OrangeTree oleh penerbitnya, Datuk Jaspal Singh, dengan disaksikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Asma Ismail.

“Ia mencerminkan pengiktirafan dan kesedaran kami tentang keperluan mereka serta hasrat kami untuk mempelawa mereka mengambil bahagian, mengamalkan dan menerima hakikat tentang kepelbagaian mereka, di samping menonjolkan keunikannya serta nilai yang wujud dalam budaya kita, sambil menghormati perbezaan dan memupuk kesaksamaan untuk semua,” kata Jaspal.

Beliau berkata, oleh kerana bahan yang disiarkan dalam laman sesawang ini adalah berbentuk pendidikan dan fiksyen yang berkaitan dengan hal ehwal semasa, maka manfaatnya adalah tidak terbatas.

Kata beliau: “Kini, para belia kita boleh mendapatkan maklumat yang ada kaitan dengan mereka hanya dengan menekan satu butang dan ini akan menambah baik kecekapan dalam penyebaran maklumat.

“Platform canggih ini akan memupuk hubungan antara pelajar dengan pelajar dan antara pendidik dengan pelajar, yang sekali gus, akan memperkasa dan menyediakan ruang bagi pelajar untuk memberi pandangan mereka secara konstruktif.

“Di samping itu, platform ini akan menggerakkan kursus terbuka secara dalam talian secara besar-besaran kami ke platform lebih tinggi, yang disusun dan diskalakan dengan sewajarnya bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelajar daripada semua bidang pengkhususan, tanpa meminggirkan sesiapa.”

Oleh kerana platform ini juga akan meliputi pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara, maka ia akhirnya akan menjadi portal web yang menghubungkan pelajar dari seluruh dunia,’ katanya.

OrangeTree juga terlibat dalam projek ‘My Sekolah’, aplikasi yang membolehkan ibu bapa memantau dan mengamalkan pendekatan secara amali terhadap kemajuan pendidikan anak mereka, termasuk keputusan terperinci dan trend masa lampau.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda