Skip to main content
GlobalHomeViral

Bayi 2 Tahun Diambil Daripada Penjagaan Ibu Bapa Kerana Rokok

By 3 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

HULL, UNITED KINGDOM, 3 Jun (Malaysiaktif) — Mahkamah mengarahkan supaya seorang bayi berusia dua tahun diambil daripada penjagaan ibu bapanya kerana terlalu terdedah kepada asap rokok di rumah mereka.

Menurut seorang pemeriksa kesihatan, bayi yang mengalami maslah pernafasan hingga memerlukan alat penyedut itu dilaporkan sentiasa dikelilingi asap rokok.

Hakim Mahkamah Keluarga, Louise Pemberton, seterusnya mengarahkan supaya bayi itu ditawarkan sebagai anak angkat kepada mereka yang berminat.

Beliau membuat keputusan tersebut kerana kedua-dua ibu bapa bayi itu lebih sayangkan rokok daripada anak sendiri dan enggan menghentikan tabiat buruk mereka.

Sementara itu, dalam isu berkaitan, England dan Wales menetapkan larangan ibu bapa merokok di dalam kereta yang turut dinaiki anak mereka dan denda sebanyak £50 (RM282.47) akan dikenakan sekiranya melanggar peraturan itu.

Portal akhbar Mirror melaporkan keputusan itu disahkan oleh beberapa ahli politik Wales pada Selasa yang menyambut baik larangan itu dengan 46 orang memberikan sokongan dan hanya seorang yang membantah.

England sudah menetapkan larangan merokok di dalam kereta yang dinaiki anak dan peraturan itu di kedua-dua negara berkenaan akan berkuatkuasa pada 1 Oktober.

Kumpulan prihatin kesihatan memberi amaran bahawa setengah juta kanak-kanak menghirup asap rokok ibu bapa mereka setiap minggu.

Pakar berpendapat bahawa tabiat merokok di dalam kereta lebih berbahaya berbanding di rumah kerana ruang yang terhad selain menghirup bahan toksik lebih memberi kesan kepada kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Malah sekiranya tingkap kereta dibuka, sebanyak 4,000 bahan kimia dalam rokok yang dinyalakan itu boleh berada di udara selama empat jam sehingga mengakibatkan penyakit asma dan radang paru-paru.

Kumpulan prihatin kesihatan itu kini menggesa supaya Scotland dan Ireland Utara turut memperuntukkan undang-undang yang sama.

Tinggalkan komen anda