Skip to main content
EkonomiViral

GPEC Asia 2015 Jangka Menarik Lebih 15,000 Pengunjung

By 29 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan Tambahan Oleh Syed Muhammad Fauzi Syd Mostapa

PUTRAJAYA, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Lebih 15,000 pengunjung dijangka hadir apabila ekspo keselamatan serantau GPEC Asia 2015 berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober depan di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC).

Majlis pra-pelancaran ekspo tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri di sini pagi tadi.

Menurut beliau, GPEC 2015 merupakan program tahunan terbesar yang menawarkan peluang terbaik  melihat produk dan perkhidmatan keselamatan terkini bagi berdepan dengan pelbagai bentuk jenayah masa ini.

Kata beliau, pameran itu, yang akan memperagakan peralatan dan teknologi terkini dalam sektor kepolisan dan keselamatan, terbuka kepada semua pegawai dan anggota polis, sekutu dan rakan mereka serta orang ramai.

Wan Junaidi berkata polis dan agensi penguatkuasaan keselamatan dalam negeri serta syarikat yang mengambil bahagian berpeluang memanfaatkan pameran itu untuk bertukar-tukar maklumat mengenai produk dan sistem keluaran masing-masing.

“Pameran ini juga akan menonjolkan kemajuan teknologi terkini yang membantu pasukan polis dalam menangani cabaran jenayah rentas sempadan dan ancaman pengganas yang semakin berleluasa,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Wan Junaidi berkata forum keselamatan berimpak tinggi dikenali sebagai Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya akan diadakan sebagai acara sampingan GPEC Asia keempat pada 22 Okt di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, dialog itu akan disertai anggota pewakilan daripada pelbagai negara bagi membincangkan isu berkaitan ancaman keselamatan di seluruh dunia.

Tinggalkan komen anda