Skip to main content
Home

Kelebihan Tiga Pin, Muhamad Rafiq Raih Pingat Emas

By 9 Jun 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

SINGAPURA, 9 Jun — Pemain boling negara, Muhamad Rafiq Ismail meraih pingat emas pertama Malaysia pada hari pertama acara boling Sukan SEA ke-28 di Orchid Country Club, Yishun dekat sini hari ini.

Pemain berusia 18 tahun itu berjaya mengumpul 1,308 jatuhan pin, hanya tiga pin mengatasi Annop Arromsaranon dari Thailand dalam acara perseorangan lelaki.

Pingat gangsa milik pemain tuan rumah, Javier Tan yang mengumpul 1,284 jatuhan pin.

Pemain muda negara itu bermula baik apabila menguasai arena sejak dari mula dengan melakukan 246, 221, 235 dan 225 pin dalam empat permainan pertama, namun pada dua permainan berikutnya beliau hanya mendapat 192 dan 189 jatuhan pin.

“Saya mendahului Annop, Javier dan Ryan Lalilasang dari Indonesia dengan 30 pin selepas tamat permainan kelima. Jurulatih (Holloway Cheah) beri nasihat kepada saya untuk cuba mendapatkan balingan terbaik dan fokus kepada pertandingan.

“Masalah timbul bila saya tidak mengubah balingan dengan cepat dan itu menyebabkan permainan saya tidak begitu baik,” katanya.

Kejayaan meraih pingat emas pertama pada penampilan pertama di Sukan SEA kali ini, menjadi pemangkin kepada dirinya untuk cuba meraih pingat emas lagi di sini.

“Saya tidak menghadapi masalah bermain dalam paten minyak dan saya berharap dapat beraksi dengan baik sekali lagi esok dalam acara beregu,” kata pemain kidal berasal dari Selangor itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda