Skip to main content
HomeViral

MPM Desak Semua Redakan Perbalahan Sempena Ramadhan

By 16 Jun 2015Tiada komen3 minit bacaan

KUALA LUMPUR , 16 Jun — Majlis Perundingan Melayu (MPM), yang kini dianggotai hampir 800 badan bukan kerajaan (NGO), dengan bilangan keahlian NGO melebihi 6.0 juta ahli, hari ini menggesa umat Islam, termasuk pemimpin, yang bertelagah agar menghormati Bulan Ramadhan al-Mubarak yang mulia ini.

Sempena Bulan Ramadhan ini MPM menyeru semua pihak agar segala perbalahan hendaklah diredakan dan mereka yang berbalah wajib memilih untuk berbaik-baik dan bermuafakat, kata Setiausaha Agung MPM Datuk Dr. Hasan Mad hari ini.

“Selesaikan semua perbalahan cara Islam,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Bersempena dengan Bulan Ramadhan Bulan Mulia dan Kemelut Kepimpinan semasa, MPM ingin merujuk kepada 3 isu saja:

Berikut ialah teks kenyataan penuh MPM:

KENYATAAN MEDIA MPM
MENGENAI KEMELUT KEPIMPINAN SEMASA
SEMPENA MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

 i.  Bulan Ramadhan Al-Mubarak Yang Mulia.

Sempena Bulan Ramadhan ini MPM menyeru semua pihak agar segala perbalahan hendaklah diredakan dan mereka yang berbalah wajib memilih untuk berbaik-baik dan bermuafakat. Selesaikan semua perbalahan cara Islam. Seandainya masih ada mereka yang memilih untuk terus berbalah secara terbuka, sekalipun ia dipihak yang benar, mereka ini hendaklah dikecam kerana ia telah menolak semangat Bulan Ramadhan.

Mereka yang selama ini berbalah juga digalakkan untuk mengadakan majlis silatur-rahim disamping lain-lain aktiviti ibadat yang dijalankan dalam Bulan yang mulia ini.

 ii.  Kemelut kepimpinan

Sayugia diingatkan bahawa YAB Dato’ Sri Najib adalah Perdana Menteri Malaysia, Presiden UMNO & Pengerusi BN. Beliau bukan Pengerusi atau CEO mana-mana institusi bisnes yang dimiliki Kerajaan. Justeru, mana-mana pihak yang berhasrat mempersoalkan beliau hendaklah mempersoalkannya atas kapasitinya itu. Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini ialah pertikaian terhadap beliau mengenai 1 MDB serta beberapa isu lain yang sepatutnya dilemparkan kepada pengurusan institusi-insitusi berkaitan. 

Pada masa yang sama pihak YAB Dato’ Sri Najib juga sepatutnya tidak perlu respon kepada tekanan itu kerana beliau sudah pun mengarahkan pihak-pihak yang relevan seperti Jabatan Audit, SPRM, PAC dan Bank Negara untuk menjalankan siatan masing-masing. Maka tidaklah perlu beliau serta mana-mana badan di pihak Kerajaan ‘jump the gun’ cuba memperjelaskan kemelut yang timbul.

Apa pun kritikan atau tekanan terhadap beliau sebagai Perdana Menteri sewajarnya dibuat selepas kesemua institusi yang membuat siasatan  itu mengemukakan laporan masing-masing. Jika terbukti ada kes untuk mensabitkan beliau sebagai Perdana Menteri dengan urusan bisnes yang dijalankan oleh institusi bisnes berkenaan, barulah tekanan atau tindakan diambil terhadap beliau.

Jika isu seperti 1MDB ini tidak ditangani dengan betul, ada banyak lagi isu yang akan dieksploitasi yang akan menjerat Dato’ Sri Najib dan Kerajaan untuk tergesa-gesa bertindak, sama sepertimana isu 1MDB ditangani. Akhirnya pentadbiran Dato Sri Najib akan hilang fokas dan gagal pastikan MBE & RMK11 dilaksanakan dengan berkesan.

iii.  Perkembangan politik semasa: Kenyataan Tan Sri Chua Soi Lek mengenai kemungkinan kerjasama UMNO – PAS

MPM ingin menegur Tan Sri Chua Soi Lek yang membuat kenyataan dan dipetik oleh Malaysian Insider pada 11 Jun 2015, untuk tidak mencampuri urusan dalaman UMNO dan PAS.

Beliau sepatutnya menegur kepimpinan MCA yang kian lemah dan tidak lagi menjadi parti pilihan kaum Cina.

Atas semangat persaudaraan dalam Islam,  UMNO dan PAS wajib jalin hubungan yang akrab, bukan berseteru. Hubungan akrab itu termasuk bekerjasama politik, sekalipun ada kalanya mereka akan bersaing. UMNO dan PAS wajib memupuk semangat persaudaraan sesama Islam bagi membentuk landasan budaya politik Islam yang Islamik. Tan Sri Chua Soi Lek tidak faham konsep persaudaraan dalam Islam, maka dinasihatkan untuk tidak membuat kenyataan melulu dan menimbulkan kemarahan orang Islam.

Isu perpecahan dikalangan masyarakat Cina jika sekiranya UMNO dan PAS bekerjasama, itu adalah pilihan yang dibuat oleh masyarakat Cina. Kenapa mesti dikaitkan dan menyalahkan keinginan kerjasama UMNO dan PAS.

Tan Sri Chua Soi Lek tidak perlu bimbang kerana PAS tidak akan sama sekali menyertai BN sebab PAS sudah ada pengalaman bekerjasama dengan parti politik yang didominasi kaum Cina. Hanya UMNO saja yang mampu bertoleransi dengan pelbagai parti, maka biarkan UMNO menerajui BN dan PAS tidak menyertai BN

Sekian, terima kasih & wassalam.

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak, Bulan Yang Mulia

 Di keluarkan di Kuala Lumpur oleh:

 Dato’ Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung
Majlis Perundingan Melayu MPM
Kuala Lumpur 16 Jun 2015.

Tinggalkan komen anda