Skip to main content
HomeViral

Musim Sudah Tiba: Musim Harga Ayam Naik

By 29 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Musimnya tiba lagi – musim apabila harga ayam melambung dan keresahan memuncak di kalangan pengguna.

Setiap kali menjelang Hari Raya Aidil Fitri, perkara ini akan berlaku sejak beberapa tahun dahulu.

Sehingga jentera kerajaan meneliti, digerakkan dan akhirnya diumumkan penguatkuasaan, pihak yang mengambil kesempatan akan memerah pengguna secukup-cukupnya. Mereka memberikan pelbagai alasan yang akhirnya menuding kepada kelemahan pihak kerajaan.

Kali ini mereka menyalahkan kekurangan bekalan dan kos dedak ayam yang tinggi dan kualiti yang rendah hingga menjejaskan pertumbuhan pada ayam.

Akhbar The Star hari ini melaporkan jangkaan peniaga utama ayam di Perak dan Johor bahawa harga ayam bersih akan mengalami kenaikan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Ayam Perak, Datuk Ding Thong Chow berkata, bekalan ayam tidak mencukupi sebelum kedatangan bulan Ramadan lagi dan pertumbuhan ayam yang terbantut kerana mutu makanan yang rendah.

“Kebiasaannya selepas 38 hari, seekor ayam dengan berat 2.5 kg bersedia untuk disembelih, tetapi sekarang berat ayam hanya kira-kira 2kg pada peringkat itu. Ayam mengambil masa yang lama untuk membesar.

“Kami percaya ia disebabkan kualiti rendah pada jagung kering yang diimport dari Argentina. Terdapat mogok pekerja, jadi penghantaran pun terjejas,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata harga ayam mengalami kenaikan kepada RM5 daripada RM4.80 sekilogram dengan Perak membekalkan 20 peratus daripada pengeluaran ayam negara.

Di Johor, peniaga ayam berkata peningkatan kos makanan ayam disebabkan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Peniaga di negeri itu berkata mereka tiada pilihan melainkan memindahkan kos tersebut kepada pengguna.

Ini jelas menunjukkan penternak menetapkan harga ayam ternak lebih tinggi.

Peniaga Pasar Kampung Melayu, Faaiz A.Rahman, 29, berkata harga sekilogram ayam pada minggu ini iaitu RM6.40 akan naik kepada RM7.50 sebelum kerajaan menetapkan harga barang kawalan sempena Hari Raya.

Seorang peniaga di pasar basah Larkin yang hanya mahu dikenali sebagai Teo berkata, kos makanan ayam memberi kesan negatif terhadap kenaikan harga.

“Kami tidak menetapkan kadar ini tetapi harga perlu dinaikkan untuk mendapat keuntungan yang minimum,” katanya.

Pemilik rangkaian restoran India Muslim terbesar di Petaling Jaya berkata harga ayam naik sejak dua bulan.

“Kami menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) setiap hari daripada pembekal yang memaklumkan mengenai harga ayam. Beberapa hari, ia naik sehingga 60 sen dan 70 sen. Jika harga turun, ia hanya melibatkan 10 sen dan 20 sen sahaja.

“Pembekal berkata mereka kekurangan bekalan ayam,” katanya.

Presiden Persekutuan Penternak Ayam Malaysia, Jeffrey Ng bagaimanapun berkata, bekalan ayam masih mencukupi.

“Buat masa ini, tidak timbul masalah terhadap bekalan ayam untuk Hari Raya,” katanya.

Ng berkata kos makanan ayam bukanlah yang tertinggi pernah dicatatkan sejak dua tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek memberi amaran kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

“Penternak ayam hidup memberi jaminan kepada kami bahawa bekalan adalah mencukupi, jadi peniaga tiada alasan untuk menaikkan harga ayam,” katanya.

Tinggalkan komen anda