Skip to main content
EkonomiHome

PM Cadang Penghargaan Kepada Jabatan/Kementerian Berjimat

By 17 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

PUTRAJAYA, 17 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan satu pendekatan baharu dibentuk supaya jabatan atau kementerian yang berjaya melakukan penjimatan peruntukan boleh menerima semula sebahagian daripada usaha itu.

Beliau berkata ia sebagai penghargaan kepada jabatan atau kementerian terbabit kerana lebih efisien menjimatkan peruntukan agar mereka boleh melaksanakan program lain atau memberi insentif kepada pegawai mereka.

“Tradisi sekarang setiap tahun kita tengok bajet yang diluluskan dan kementerian mana yang habiskan bajet sepenuhnya dikira bagus.

“Maknanya kriteria dia habiskan peruntukan tetapi adakah itu kriteria mutlak? Kenapa kita tak cabar diri, kita boleh mencapai objektif dan KPI (petunjuk prestasi utama) tetapi boleh kurangkan perbelanjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perdana perkhidmatan Awam ke-14 (MAPPA XIV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

 

20150616231541 (2)

 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

MAPPA yang dianjurkan sejak tahun 2000 adalah bagi membolehkan Perdana Menteri menerangkan strategi serta perancangan kerajaan bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Perdana Menteri memberikan contoh sekiranya Kementerian Pendidikan dapat melakukan penjimatan RM1 bilion daripada peruntukan, kaedah yang perlu dibincangkan ialah untuk memulangkan sebahagian daripada penjimatan itu kepada kementerian berkenaan.

Najib berkata amalan kini ialah peruntukan jabatan atau kementerian yang tidak dapat dihabiskan akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan.

“Kalau kita jimatkan perbelanjaan, Perbendaharaan akan dapat balik peruntukan itu. Nanti ada yang kata kita kerja kuat tapi (peruntukan) balik pada perbendaharaan tak dapat merasai penjimatan,” katanya.

Perdana Menteri meminta cadangan kaedah baharu itu dibincangkan antaranya melibatkan Ketua Setiausaha Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ketua-ketua setiausaha kementerian, penjawat awam dan Cuepacs.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda