Skip to main content
HomeViral

SC Fail Tuntutan Sivil Terhadap Tiga Individu

By 1 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Malaysiaaktif) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menfailkan tindakan tuntutan sivil terhadap tiga individu bersabit kesalahan dagangan orang dalam.

Chan Soon Huat, Goh Ching Liong dan Leong Ah Chai di hadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini kerana dagangan orang dalam bagi saham-saham WCT Berhad (WCT).

SC menfail tindakan terhadap Goh dan Leong pada 26 Mei 2015, manakala tindakan terhadap Chan difailkan pada 27 Mei.

Dalam penfailan tersebut, SC mendakwa Chan telah melanggar seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), dengan melupuskan sejumlah 2,414,600 saham dan 1,236,700 waran WCT antara 30 Disember 2008 dan 5 Januari 2009 ketika memililki maklumat bukan awam yang penting.

SC mendakwa maklumat bukan awam yang penting itut merujuk kepada tindakan pembatalan kontrak bagi cadangan pembinaan “Nad Al Sheba Dubai Racecourse,” di Emiriyah Dubai, Emiriyah Arab Bersatu yang diberikan kepada syarikat usaha sama yang telah ditubuhkan oleh WCT dan Arabtec Construction L.L.C.

Pengumuman mengenai maklumat tersebut dibuat pada 6 Januari 2009.

Chan telah melupuskan saham dan waran WCT melalui akaunnya, akaun anak perempuannya, Chan Choon Chew, dan menantunya, Leong Weng Wah.

SC juga mendakwa bahawa Leong yang melanggar seksyen 188(2) CMSA, telah melupuskan sebanyak 1,640,000 unit saham WCT antara 2 Januari 2009 dan 5 Januari 2009 ketika memiliki maklumat bukan awam yang penting.

Goh, yang ketika itu dan kini masih lagi merupakan Timbalan Pengarah Urusan WCT dikatakan menyampaikan maklumat bukan awam penting itu dan melanggar seksyen 188(3) CMSA, kepada Leong yang selepas itu telah melupuskan saham WCT tersebut.

SC menuntut daripada defendan sebanyak tiga kali keuntungan yang telah diperolehi daripada tindakan dagangan orang dalam tersebut.

SC juga menuntut penalti sivil sebanyak RM1 juta daripada ketiga-tiga defendan dan mereka dihalang daripada menjadi pengarah dalam mana-mana syarikat awam tersenarai.

Tinggalkan komen anda