Skip to main content
HomeViral

UMNO Kelantan Anggap Hasrat DAP Bina Masjid Helah Politik

By 21 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Kenyataan Media Oleh Dr Asyraf Dusuki

Kenyataan DAP sebagaimana yang dilaporkan di portal MalaysiaKini berkenaan asrat membina sebuah masjid di Kampung Pasir Tumboh di bawah DUN Nenggiri, Gua Musang, Kelantan merupakan satu tipu helah politik.

Hakikatnya masjid tersebut sudahpun dibangunkan oleh sebuah pertubuhan Bukan Kerajaan CAKNA UT dengan bantuan dan sumbangan orang ramai. Apa yang diperlukan hanyalah peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 bagi membaikpulih dan menyempurnakan masjid tersebut sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Perkara ini disahkan oleh ADUN Nenggiri sendiri iaitu YB Mat Yusoff bin Abdul Ghani yang telahpun berbincang dengan pihak NGO terbabit dan jawatankuasa masjid.

Sehubungan dengan itu, pihak ADUN telahpun membuat permohonan secara rasmi kepada Tabung Pemulihan Masjid Banjir Kelantan di bawah inisiatif Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Saya selaku Pengerusi kepada Tabung Ihsan Pemulihan Banjir Kelantan dan juga Pengerusi Biro Agama, UMNO Kelantan telahpun meluluskan segera peruntukan sebanyak RM50,000 sebagaimana yang dipohon untuk membantu membaik pulih Masjid tersebut. Isu ini juga telah mendapat perhatian YB Dato Seri Mustapa Mohamed selaku penaung kepada Tabung Ihsan Pemulihan Banjir Kelantan

Sebagai makluman Tabung ini telah ditubuhkan sejak Januari 2015 dengan tujuan untuk membaik pulih seluruh masjid dan madrasah di negeri Kelantan yang memerlukan bantuan tanpa mengira ideologi dan fahaman politik. Buat masa ini, Tabung ini diselenggarakan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan pemantauan oleh sebuah Lembaga Pemegang Amanah.

Setakat penghujung Mei 2015, sebanyak 268 masjid dan madrasah (98 masjid dan 170 madrasah) telahpun berjaya dibaik pulih melalui Tabung ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM4.3 juta.

Tabung juga akan menyalurkan bantuan ini dalam masa terdekat bagi membolehkan kerja-kerja baikpulih terhadap masjid tersebut dapat dilakukan tanpa sebarang kekangan. Sebagaimana yang dipersetujui oleh pihak pengurusan Tabung, kerja-kerja baikpulih akan dipantau sepenuhnya oleh YB Mat Yusuff selaku ADUN Nenggiri yang bertanggungjawab terhadap masjid didalam kawasannya.

Justeru saya juga meminta agar pihak DAP tidak memutarbelitkan fakta dan sengaja bermain dengan sentimen umat Islam dengan mempolitikkan isu masjid yang merupakan rumah ibadah yang begitu suci dan kudus bagi orang Islam. Institusi masjid perlu kekal sebagai tempat yang bebas daripada unsur politik.

Biarlah institusi masjid diurus dan dijaga kebajikannya oleh orang Islam sendiri. Mengumumkan pembinaan seolah-olah tidak mendapat pembelaan orang Islam sendiri hanyalah satu kenyataan yang memperlihatkan DAP sengaja meremehkan usaha pembangunan masjid oleh umat Islam selama ini.

Tinggalkan komen anda