Skip to main content
EkonomiHomeViral

Anwar: ‘Watak Utama’ Skandal 1MDB Di Luar Negara

By 23 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

PETALING JAYA, 23 Julai — Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa supaya bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi mengheret ‘watak utama’ atau dalang disebalik dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke muka pengadilan.

Seolah-olah ada maklumat berhubung dakwaan penyelewengan 1MDB, bekas Ketua Pembangkang itu mendakwa ‘watak utama’ skandal membabitkan syarikat pelaburan milik kerajaan itu kini berada di luar negara.

“Walaupun beberapa tangkapan telah dilakukan, tidak salah untuk umum terus berasa curiga sehinggalah tindakan diambil terhadap ‘watak utama’ skandal ini.

“Pihak berkuasa mesti bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa seperti Interpol, kerana beberapa ‘watak utama’ atau saksi kini berada di luar negara,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun menerusi kenyataan yang disampaikan melalui peguamnya, Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun tidak menamakan ‘watak utama’ yang dimaksudkannya itu.

Sehingga kini pihak berkuasa menahan dua individu termasuk Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

Shamsul ditahan pada petang Selasa di pusat beli-belah The Curve di Mutiara Damansara sebelum dibawa ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat, di mana beliau kemudiannya ditahan.

Beliau kemudiannya direman selama lima hari.

Sebelum itu, seorang pengarah sebuah syarikat swasta direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan berhubung akaun syarikat SRC International Sdn Bhd.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Lau Eric di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM.

Suspek berusia 39 tahun tersebut ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira jam 1 petang pada Isnin oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.

Tinggalkan komen anda