Skip to main content
Home

Bekas Pengerusi Tabung Haji, Pos Malaysia Meninggal Dunia

By 23 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji dan Pos Malaysia Bhd, Tan Sri Zainol Mahmood, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Zainol, 78, yang merupakan Pengerusi Pavilion Kuala Lumpur Sdn Bhd dan Urusharta Cemerlang Sdn Bhd meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court (PPPC) di sini pada kira-kira 9.40 pagi.

Cucu Allahyarham, Mohamad Harith Sibbald, 25 berkata, datuknya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak tengah hari Rabu.

“Atuk dimasukkan ke hospital selepas dia muntah-muntah tengah hari semalam dan hasil pemeriksaan doktor, beberapa saluran arterinya didapati telah tersumbat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Bukit Tunku di sini, Khamis.

Beliau berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang selepas dimandikan dan dikafankan di Masjid Kampung Baru di sini, selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Rajmin Rashid, 73, dan tiga orang anak iaitu Zairila, 50, Rajman Zareqh, 43, dan Irazeqh, 40, serta lapan cucu.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail.

Allahyarham yang berasal dari Kangar, Perlis memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Lumpur pada 1961 dan pernah memegang beberapa jawatan penting di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kerajaan Pulau Pinang.

Jawatan terakhir beliau dalam perkhidmatan awam ialah sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada Mei 1990 sehingga bersara pada April 1992.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Pos Malaysia Berhad mulai April 1992 hingga 2001.

Allahyarham Zainol dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji pada 1 Ogos 2000 hingga 7 Ogos 2005.

 

BERNAMA

Tinggalkan komen anda