
Oleh Diyana Zamri
SEPANG, 11 Julai 2015 (MalaysiaAktif) – Waris mangsa-mangsa pesawat MH17 yang terkorban pada 17 Julai 2014 ketika dalam perjalanan dari Belanda ke Kuala Lumpur akan menerima sejumlah pampasan tidak lama lagi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Liow Tiong Lai berkata pada sidang media Upacara Memperingati Tragedi MH17 kelmarin, Malaysia Airlines System Berhad (MAS) telah diarahkan untuk mempercepatkan bayaran pampasan tersebut kepada waris mangsa nahas MH17.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller mengesahkan perkara tersebut namun tidak menyatakan jumlah pampasan yang diberikan.
Selain itu, Belanda juga akan mengadakan Upacara Memperingati Tragedi MH17 di Amsterdam pada minggu hadapan.
MAS menyatakan kesudian untuk membawa semua waris mangsa-mangsa nahas ke sana bagi membolehkan mereka menghadiri upacara tersebut.
Setakat ini, hanya kira-kira 80 waris mangsa telah memberikan persetujuan kepada MAS untuk ke Amsterdam.