
Oleh Syed Muhammad Fauzi Syd Mostapa
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Malaysiaaktif) – Filem dan program menarik, seperti The Hobbit: An Expected Journey, Konsert Lebih Indah Bersama Dato’ Siti Nurhaliza, Maan, Magika, Wushu, KL Drift 2, dan Unnale Unnale bakal menanti penonton RTM sepanjang Syawal ini.
Menurut Ketua Seksyen Perancangan dan Pengurusan Acara Bahagian Perhubungan Raya, Puan Angrahi Selamat, dengan tagline #InikanRaya, program tahun ini menjanjikan kepuasan kepada masyarakat majmuk di Malaysia.
Tambah beliau, ketika umat Islam sibuk dengan kemeriahan raya, kaum lain turut sama boleh menonton filem-filem tempatan dan antarabangsa bagi memenuhi cuti raya mereka.
Bertempat di Stesen LRT Masjid Jamek sekitar pukul 11 pagi tadi pihak RTM menganjurkan program Ole-Ole Raya RTM 2015 dengan melibatkan personaliti TV dan radio dengan konsep beramal sambil berhibur.
Risalah program Raya RTM dan barangan raya turut diedarkan kepada orang ramai.