Skip to main content
HomeRencana & PendapatViral

Kanji Hijau ‘Gearbox’ Istimewa Pak Omar Warisan Ramadhan

By 12 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan

ALOR SETAR, 12 Julai (Malaysiaaktif) – Pesara Omar Mat Noor 72, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Omar sudah lama meninggalkan perkhidmatan awam. Kehidupan sebagai pesara memberikan beliau banyak ruang untuk berbakti kepada masyarakat.

Sejak dari dahulu , bubur nasi yang lebih dikenali sebagai ‘kanji’ di Kedah juga sinonim dengan suasana Ramadhan, seperti mana bubur lambuk di tempat-tempat lain.

Antara yang paling masyhur, kanji di Masjid Taman PKNK, Alor Setar kerana ramuan istimewa lain daripada yang lain dalam penyediaannya.

Kanji di sini dimasukkan beberapa batang kaki lembu (gearbox) dan air perahan daun pandan yang memberikan warna hijau kepada masakan istimewa ini.

Setiap Ramadhan sejak 30 tahun, penduduk di sini sentiasa menantikan kanji ‘gearbox’ ini selepas solat Asar. Bagaimana pun, berbeza dari zaman dahulu, sekarang pihak masjid hanya menyediakan satu periuk sehari berbanding lima periuk sebelumnya.

 

20150712042343 (5)

 

Kesedapan kanji Masjid Taman PKNK masih sama, tetapi yang berbeza hanya permintaan, kerana setelah ramai anak muda berhijrah ke luar, yang tinggal di sini hanya warga tua yang menjadi jemaah.

Pak Omar bersama tiga orang rakannya, Pak Mansor atau ‘Pak Chot,’ Cikgu Din dan Cikgu Hanafi menjadi penyambung tradisi membuat kanji ini sepanjang Ramadhan.

Satu lagii yang unik mengenai persediaan kanji ini ialah cara ia diagihkan kepada penduduk.

Orang ramai tidak boleh beratur dengan bekas sendiri untuk mendapatkan juadah ini. Mereka perlu tinggalkan bekas di atas meja dan tunggu ia diisi. Setelah semua bekas siap diisi, baharulah tuan punya bekas boleh mengambilnya dan dibawa pulang untuk berbuka puasa.

Walaupun harapan untuk tradisi ini di teruskan agak malap memandangkan umur Pak Omar sudah mencecah 72 tahun, begitu juga rakan-rakan beliau, tetapi anak-anak penduduk di sini yang pulang setiap kali Ramadan mengharapkan ia dipelihara dan diteruskan selamanya.

 

20150712042343 (1)

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda