Skip to main content
HomeViral

Trafik Dari Utara Dan Selatan Ke Ibu Negara Sesak – PLUS

By 31 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 31 Ogos  — Aliran trafik dari utara dan selatan di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menuju ke ibu negara dilaporkan sesak dengan pertambahan bilangan kenderaan berikutan cuti umum Hari Kebangsaan.

Keadaan kesesakan itu yang bermula jam 2 petang ini dijangka berterusan sehingga malam ini, menurut jurucakap PLUS kepada Bernama.

“Sehingga kini keadaan trafik di beberapa laluan iaitu di Bukit Merah ke Taiping mengalami kesesakan berikutan berlaku kemalangan di kawasan itu.

“Selain itu, trafik bergerak perlahan di Changkat Jering ke Bukit Berapit, kawasan Rehat & Rawat (RR) Sungai Perak ke Terowong Menora, Gua Tempurung ke Tapah dan Bidor ke Slim River,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, aliran trafik dari Pedas Linggi ke Port Dickson turut mengalami kesesakan, selain dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Putrajaya berikutan kebakaran belukar yang dipercayai berlaku di Dengkil menyebabkan jarak penglihatan pemandu terhad.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata aliran trafik di sekitar ibu kota masih bergerak lancar dan terkawal.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula melaporkan trafik bergerak perlahan dari Bentong Timur ke Bukit Tinggi dan dari Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak.

Untuk maklumat lanjut dan terkini, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 atau talian LLM 1800-88-7752 atau layari www.twitter.com/plustrafik atau www.twitter.com/llminfotrafik.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda