Skip to main content
EkonomiHomeViral

Malaysia Terus Kekal Sebagai Ekonomi Terbuka – Mustapa

By 24 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 24 Ogos  — Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah ekonomi terbuka dan bersedia untuk muncul sebagai ekonomi maju dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Malaysia telah berusaha keras ke arah ini (ekonomi terbuka) dan akan terus berbuat demikian,” katanya pada Forum Pelaburan Asia Timur pertama semasa Persidangan Meja Bulat Menteri-Menteri bersama Setiausaha Perdagangan Filipina Gregory Domingo.

Bagi Malaysia, sektor perkhidmatan adalah penggerak utama pertumbuhan, yang dijangka berkembang sebanyak 6.9 peratus setahun, meningkatkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar daripada 53.8 peratus pada 2015 kepada 56.5 peratus pada 2020.

“Sektor perkhidmatan adalah penting. Setakat ini, usaha yang dilakukan berjaya meningkatkan sentimen pelabur,” katanya dan menambah, untuk membolehkan pelabur terus melabur di sesebuah negara, mereka memerlukan hala tuju yang jelas dan pelan tindakan yang berkesan.

“Pelabur mahu melihat perubahan persekitaran liberal dalam dasar. Mereka ingin tahu ke mana hala tuju kita dan ke mana hala tuju ASEAN,” katanya.

Persidangan Meja Bulat bertajuk ‘Melancarkan Pelaburan Rentas Sempadan’, bertujuan untuk memahami perbezaan inisiatif dan usaha oleh ASEAN, Malaysia, Filipina dan China untuk terus menambah baik serta meliberalisasi rejim pelaburan.

Mustapa berkata Forum itu mempunyai peranan amat penting dalam menangani isu berbangkit untuk melibatkan penyertaan komuniti di Asia Timur dengan penggubal dasar dalam perundingan ASEAN.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda