Skip to main content
HomeViral

Razali: Jangan Layan Khabar Angin Usaha Jatuhkan Kerajaan

By 20 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

ROMPIN, 19  Ogos (Malaysiaaktif) – Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim menggesa orang ramai agar tidak melayan dan percaya khabar angin yang kononnya 20 orang ahli parlimen BN terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Beliau berpendapat maklumat palsu yang tersebar dalam media sosial itu strategi kotor pihak tertentu untuk memecahkan perpaduan dalam parti

“Ini pembohongan, cubaan wujudkan rasa sangsi yang akhirnya menyebabkan kita bergaduh sesama sendiri” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pameran Kerjaya Berasaskan Sektor (SFCF) di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS), Muadzam Shah semalam.

“Siapa yang buat perkara itu, tiada sesiapa yang boleh beri jawapan dan kenapa pula kita nak layan?” tanya beliau.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri melihat isu  itu sebagai dakwaan tidak berasas namun masih perlu diambil serius.

“Wallahi Wabillahi Watallahi…saya tidak tahu pun perkara ini…itu penipuan media sosial dan saya langsung tidak tahu menahu dan terliba,” katanya.

Beliau turut bertindak untuk tidak membuat laporan polis kerana merasakan isu itu tidak sahih serta bertentangan dengan prinsip undang-undang negara.

“Kita boleh ambil ini sebagai maklumat tetapi tidak boleh anggap ia sebagai satu perkara yang sahih sehingga disahihkan. Tetapi hari ini orang menganggap perkara itu betul sehingga dinafikan.

“Dalam undang-undang, yang menuduhlah kena buktikan saya terlibat, kenapa pula saya perlu menjawab,” katanya.

Tinggalkan komen anda