Skip to main content
HomeViral

PERNAMA Lancar Buku ‘Mission Accomplished’

By 20 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Dila Khamde

PUTRAJAYA, 19 Ogos 2015 (MalaysiaAktif) – Naluri seorang ibu pastinya risau apabila anaknya berhasrat untuk menyertai tentera. Begitulah kisah awal Jeneral Tan Sri (Dr) Mohamed Hashim Mohd Ali apabila memohon berkat ibunya untuk berjuang demi negara

“Akhirnya setelah mendapat restu, segala yang saya lakukan selepas itu didedikasikan kepada ibu supaya dia tahu dia tidak membuat kesilapan membenarkan saya menyertai tentera. Itulah ‘Mission Accomplished’ saya.”

Buku ‘coffee table’ bertajuk “Mission Accomplished” – The Military Journey of General Tan Sri (Dr) Mohamed Hashim bin Mohd Ali (Rtd) from Soldier to Leader diterbitkan oleh Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau sebagai Pengerusi PERNAMA dari 1992 hingga 2013.

Buku ini mengandungi 134 muka surat berserta foto dari koleksi peribadi beliau, kronologi kehidupan sepanjang karier dalam tentera, dan pengalaman menerajui Angkatan Tentera Malaysia dari 1954 hingga 1992.

Penglibatan dalam tentera bermula di Kolej Tentera Persekutuan, Port Dickson pada 1954 , sebelum berangkat ke Eaton Hall Cadet School, di Chester pada 1955 dan The Royal Military Academy Sandhurst, The British Army Training Academy for Young Officers dalam pengambilan ke-18.

Kerjayanya selama empat dekad yang bermula dengan Angkatan Tentera Malaysia dari awal tahun kemerdekaan Tanah Melayu, menyaksikan penubuhan Malaysia dan konfrontasi dengan Indonesia.

Selepas meninggalkan zaman ketenteraan, beliau melakar nama sebagai tokoh korporat yang disanjung. Terutama, sumbangan beliau dalam mengendalikan Sukom 98 dan diberi amanah menerajui syarikat-syarikat seperti PERNAMA, AJINOMOTO dan Country Heights Holding.

Buku ‘Mission Accomplished’ dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  semalam.

‘Mission Accomplished’  boleh didapati di kedai buku MPH dengan harga RM100 senaskah.

Tinggalkan komen anda