
YAN (KEDAH), 10 Sept (Malaysiaaktif) — Banjir berlaku di Kampung Teroi Bukit di sini pagi tadi.
Tinjauan MalaysiaAktif pada kira-kira pukul 9 pagi mendapati sekurang-kurangnya 20 buah rumah di naiki air sedalam 0.2m – 0.45m.
Sewaktu tinjauan didapati penduduk belum mendapat sebarang bantuan, sementara pihak Jabatan Perkhidmatan Awam yang dihubungi mendakwa belum mendapat maklumat.
Selain itu, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Titi Teras, JKKK Teroi Bukit dan Pejabat Daerah Yan juga dikatakan lambat bertindak menangani keadaan.
Jumlah kerosakan yang dialami penduduk masih belum dianggarkan dan pada waktu liputan pusat pemindahan banjir di Masjid Titi Teras dan Dewan Orang Ramai Teroi Bukit masih belum dibuka.
Penduduk mendakwa banjir tersebut berpunca daripada hujan berterusan yang menyebabkan limpahan air dari Sungai Malai, Sungai Gurun dan Sungai Teroi. Kali pertama banjir berlaku di kawasan ini selepas sungai dikorek pada 2010.
Selain itu mereka turut mendakwa air tidak dapat disalirkan dengan baik ke SungaiGurun akibat keadaan air laut pasang tinggi.
Banjir beransur reda menjelang pukul 12.30 tengahari.