Skip to main content
HomeViral

Integrasi Serantau ASEAN Melalui Seni Monolog

By 10 September 2015Tiada komen1 minit bacaan
Laporan sampingan oleh Zaharah Ismail

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Malaysiaaktif) — Fokusnya, integrasi serantau dalam kepompong sihat hubungan sesama 10 negara anggota ASEAN.

Pendekatan ke arah aspirasi ini yang diusahakan melalui kebudayaan dan kesenian antara yang paling berkesan dan mampu menarik minat para penggiat dan penonton.

Sehubungan itu, semalam berlangsung festival seni antarabangsa lima hari yang menampilkan lima pemain monolog terkemuka mewakili negara masing-masing.

Mereka terdiri daripada Khalid Salleh dari Malaysia, Asia Ramli Prapanca (Indonesia), Ptr Weera (Thailand), Zefri Ariff Brunei (Brunei) dan Noor Hasnah Adam (Singapura).

Festival julang kali ini turut menyaksikan pelancaran buku antologi drama pentas “Monolog 5 Negara” yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Acara sebahagian daripada ‘Diversecity 2015 Kuala Lumpur International Arts Festival’ ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian di sini.

Ditubuhkan pada 1967, ASEAN terdiri daripada Malaysia, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Komuniti ASEAN, yang penubuhannya ditetapkan pada penghujung 2015, antara lain akan mewujudkan integrasi serantau mendalam dan meluas untuk membolehkan ASEAN menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.

Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2015.

 

Tinggalkan komen anda