Skip to main content
HomeViral

“ Jangan Sebab Jaga Hubungan, Kita Hilang Maruah” – KJ

By 28 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Malaysiaaktif) – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa negara lain tidak mempunyai hak untuk campur tangan urusan kerajaan.

Beliau berkata maruah negara tidak boleh sewenang-wenangnya diperlecehkan kerana ingin menjaga hubungan baik dengan negara lain.

“Kerajaan harus menjaga maruah negara dalam tindakan duta China di Malaysia baru-baru ini.

“Kita kena hantar isyarat ke negara lain, apa sahaja yang berlaku di Malaysia ini adalah urusan kita, jangan sampai hendak menjaga hati negara besar, kita hilang maruah dan menyalahi norma diplomasi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya lewat petang hari ini.

Sebelum ini, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim menyelar tindakan Duta China, Huikang kerana memberi kenyataan berkenaan insiden di Jalan Petaling yang dilihat mencampuri hal ehwal negara.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berpendapat pihaknya sentiasa memberi galakan kepada para atlet OKU untuk terlibat dalam sukan tanpa diskriminasi.

Beliau berkata mereka telah mengambil inisiatif dengan mengaturkan pelbagai program khas untuk golongan OKU.

“KBS telah lancarkan juga program ‘Inspire’ dalam pembangunan sukan akar umbi sukan OKU dan beberapa program yang akan diadakan dalam masa terdekat” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Asia Pasifik Untuk Orang Pekak (APDG 2015) di Putrajaya hari ini.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di bandaraya Taoyuan, Taiwan dari 3 sehingga 11 Oktober.

Malaysia akan diwakili seramai 60 atlet dan pegawai yang turut terlibat dalam beberapa acara termasuk badminton, olahraga, dan bola sepak.

 

 

Tinggalkan komen anda