Skip to main content
HomeViral

Jemputan Duta China ke Malaysia Prosedur Biasa

By 28 September 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Malaysiaaktif) —Menteri Luar Negara, Datuk Seri Anifah Aman memaklumkan tindakan pihaknya menjemput Duta Besar China ke Wisma Putra adalah prosedur biasa.

Beliau berkata jemputan itu dibuat bagi meminta penjelasan duta negara itu mengenai kenyataannya terhadap Petaling Street.

“Ia bertujuan untuk meminta penjelasan daripada beliau tentang kenyataan yang dibuat oleh beliau semasa lawatan beliau ke Petaling Street tempoh hari,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Wisma Putra cuma ingin meminta beliau  mengesahkan sama ada kenyataan beliau telah disalah tafsir atau sebaliknya.”

Anifah juga berpendapat Malaysia harus tampil menyatakan pendiriannya bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, kita juga perlu menyampaikan pendirian kita kepada China dengan jelas,” katanya.

“Setelah berbincang dengan Perdana Menteri, saya membuat keputusan untuk memanggil Duta Desar China untuk hadir di Wisma Putra bagi memberi penjelasan.”

Anifah turut menolak sebarang dakwaan kononnya beliau membatalkan jemputan Duta China ke Malaysia.

“Saya tidak pernah sekali pun membatalkan arahan saya untuk memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau.”

Sebelum ini, Duta China di Malaysia, Huang Huikang mengeluarkan satu kenyataan yang dilihat sebagai mencampuri urusan pentadbiran negara ketika membuat lawatan di Jalan Petaling di Kuala Lumpur Jumaat lepas.

 

Tinggalkan komen anda