Skip to main content
HomeViral

Ke Arah Kepakaran Perubatan Ortopaedik Lebih Tinggi

By 10 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan sampingan oleh Sazaki Abdul Rahman & Syaiful Harif Adnan

KUALA LUMPUR, 9 September (Malaysiaaktif) – Ke arah melahirkan pakar bedah hebat yang mampu membawa bidang pembedahan ortopedik ke tahap lebih tinggi, Universiti Malaya (UM) melangkah setapak melalui kerjasama dengan AO Foundation dan Synbone AG apabila menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) di sini semalam.

AO Foundation sebuah badan berpangkalan di Davos, Switzerland, sementara Synbone AG sebuah syarikat pengeluar tulang tiruan.

Kerjasama tersebut berdasarkan perbezaan struktur tulang orang Asia dan bangsa Kaukasia yang sejak sekian lama menarik perhatian umum dan mempengaruhi penggunaan implan semasa merawat kecederaan dan penyakit berkaitan muskuloskeletal.

Ia meliputi penyelidikan menggunakan kepakaran Malaysia dalam merawat penyakit muskuloskeletal di negara ini untuk membandingkan dan mengkaji perbezaan antara struktur rangka antara orang Asia dan bangsa Kaukasia.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, perjanjian ini dianggap penting kerana ini akan memberi manfaat lanjut kepad penyelidik dan pakar bedah ortopedik untuk tugasan lebih baik pada tahap tinggi dalam bidang ini.

“Saya percaya kita dapat melahirkan kumpulan pakar bedah hebat yang mampu membawa bidang pembedahan ortopedik ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk N. Rajendran berkata kerjasama itu dijangka meningkatkan pemahaman mengenai struktur rangka tulang penduduk Asia.

Beliau berkata ini mungkin boleh mempengaruhi rawatan bagi kecederaan dan penyakit muskuloskeletal kerana model yang lebih baik boleh digunakan untuk pengajaran dan latihan pakar bedah ortopedik, terutama di rantau Asia.

“Malaysia lokasi baik untuk kajian ini kerana mempunyai kepakaran ortopedik  berkemampuan serta campuran etnik Melayu, Cina dan India yang mewakili spektrum terbaik keturunan Asia.

Pengarah Urusan, AO Foundation, Andreas Benyuska berkata Synbone AG telah menghasilkan tulang tiruan Kaukasia, iaitu saiz tulang orang Eropah.

Menurut beliau, menerusi  kerjasama dengan UM syarikat tersebut bakal menghasilkan tulang tiruan bagi saiz orang Asia menerusi kilangnya di Kulai, Johor.

 

Tinggalkan komen anda